Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Husam mohon presiden PAS batal pemecatannya
Diterbitkan:  May 26, 2016 7:20 PM
Dikemaskini: 1:18 PM

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa hari ini menghantar surat kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon membatalkan pemecatannya sebagai anggota parti itu.

Husam, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Salor, menerima surat pemecatan itu daripada Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok Selasa lepas (24 Mei).

"Pemecatan itu tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan parti dan tidak mengikut lunas-lunas keadilan Islam," katanya kepada pemberita di Kota Bharu.

Husam berkata tindakan terhadapnya itu dipercayai dibuat atas alasan beliau menjadi saksi perbicaraan dalam kes membabitkan sebuah syarikat yang menentang kerajaan negeri dan dilabel sebagai cuba mensabotaj kerajaan Kelantan.

Beliau berharap surat yang dihantar kepada presiden PAS itu dapat dipertimbangkan sebelum Muktamar Tahunan PAS ke-62 selama tiga hari bermula 1 Jun ini di Kota Bharu.

Katanya, jika pemecatan itu ditarik balik, beliau akan hadir ke muktamar berkenaan sebagai Yang Dipertua PAS kawasan Kubang Kerian.

Husam berkata beliau yakin peluangnya untuk kembali ke dalam PAS adalah cerah dan akan terus melakukan kritikan sekiranya melihat ada perkara yang tidak kena dalam sistem pentadbiran kerajaan Kelantan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS