Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco MCA Kedah keluar parti
Diterbitkan:  May 27, 2016 2:48 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Seorang exco kerajaan negeri Kedah dari MCA, Leong Yong Kong telah bertindak keluar dari parti itu.

Tindakan itu diambil kerana tidak puas hati dengan tindakan kerajaan mengutamakan rang undang-undang persendirian yang dibawa PAS bagi membuka laluan kepada hudud.

Beliau berkata MCA gagal mendapat rasa hormat Umno dan gagal mempertahankan perlembagaan.

“MCA sudah tidak dapat mempertahankan perlembagaan negara dan hak rakyat.

“Jadi saya mengumumkan bahawa saya keluar daripada MCA sekarang sehingga perkara ini ada perkembangan baru,” katanya.

Rakaman pengumuman beliau itu dimuat naik oleh sebuah akhbar Cina di laman webnya hari ini.

Berkaitan kedudukannya sebagai exco pula, Leong berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan itu kerana tidak bersalah.

“Yang salah adalah Umno dan BN yang tidak dapat mempertahankan perlembagaan negara.

“Jadi saya serahkan kepada presiden parti dan menteri besar serta parti saya untuk mengurus hal jawatan saya sehingga mereka dapat mencari orang yang sesuai untuk mengganti saya,” katanya.

Kerajaan semalam memberikan keutamaan untuk pindaan Akta 355 dibincangkan di Dewan Rakyat. Bagaimanapun Hadi memohon ia ditangguhkan ke sesi akan datang kerana kesuntukan masa.

Pindaan itu bertujuan menambahkan bidang kuasa mahkamah syariah.

Usul mempercepatkan perbahasan itu dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Lihat Komen
ADS