Paling Popular
Terkini

Dengan meletakkan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar Parti Amanah Negara (AMANAH) yakin mereka akan lebih dikenali orang ramai.

Menyatakan pandangan itu Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, berkata pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 18 Jun depan merupakan platform terbaik untuk mereka memperkenalkan parti berkenaan.

Ini kerana, menurut Khalid, masih terdapat masyarakat yang tidak tahu bahawa AMANAH merupakan parti serpihan PAS.

"Kita nak orang tahu AMANAH ini wujud dan ia menjadi persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Kita nak memperkenalkan AMANAH.

"Apabila kita buat tinjauan, ramai yang tak tahu adanya AMANAH dan mereka tak tahu PAS berpecah. Ada yang masih ingat Mat Sabu (Mohamad Sabu) masih dengan PAS," katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam menyatakan masih ramai penduduk di negara ini belum mengetahui AMANAH.

Justeru, katanya, pilihan raya kecil berkenaan memberi peluang kepada parti berkenaan dikenali, terutama kepada pengundi di Selangor dan di Perak.

Selain itu, Khalid juga berharap dengan meletakkan calon AMANAH mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) di dua pilihan raya kecil itu, ia dapat memberi kuasa kepada rakyat menyatakan bantahan terhadap BN.

"Kita nak rakyat yang juga pengundi suarakan bantahan terhadap salah guna kuasa penyelewengan (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak).

"Tak perlu takut, ini hanya pilihan raya kecil dan kerajaan tak akan jatuh (jika kedua-dua kerusi dimenangi HARAPAN). Jadi kita seru rakyat gunakan (pilihan raya kecil) ini sebagai platfom untuk menzahirkan bantahan terhadap Najib," katanya.

Dua pilihan raya kecil bulan depan dijangka bakal menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru antara PAS, AMANAH dan BN sebagai penyandang.

Penamaan calon bagi dua pilihan raya kecil berkenaan akan diadakan pada 5 Jun dan hari pengundian pada 18 Jun.

Lihat Komen
ADS