Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rosmah: Kita boleh jawab fitnah kerana di landasan betul
Diterbitkan:  May 29, 2016 12:18 PM
Dikemaskini: 4:25 AM

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata program PERMATA yang dinaunginya merupakan sesuatu yang baik kepada masyarakat dan tidak berminat untuk meninggalkannya walaupun ditohmah pihak lain.

“Sesiapa yang berupaya membantu negara kita untuk menyediakan pembangunan modal insan yang terbaik saya rasa mereka harus membantu. Tidak seharusnya mengkritik dan memfitnah…

“Ke mana dan bagaimana kita gunakan wang itu? Bagaimana kita bantu untuk beri kepada orang lain dan beri kepada orang lain dan buat program. Kita ikut SOP sebenar.

“Saya sedar kalau kita tidak ikut SOP, banyak fitnah dan tohmahan. Kalau mereka fitnah dan tohmah, kita boleh jawab kerana kita tahu kita berada pada landasan betul. Saya rasa tidak perlu gusar sebab saya tahu buat perkara yang betul.

“Saya yakin tidak buat perkara yang salah malah saya lakukan sesuatu yang boleh menyumbang kepada kebaikan anak-anak bangsa ini,” katanya seperti dilapor Mingguan Malaysia hari ini.

Rosmah berkata demikian ketika ditanya mengenai dirinya yang obses mengenai pendidikan awal kanak-kanak dan apakah yang ingin dicapai sehingga sanggup mendepani tohmahan.

Mengakui fitnah terhadapnya bersifat politik dan semakin menjadi-jadi, Rosmah bagaimanapun enggan melayaninya.

“Jangan hirau apa yang orang nak kata, asalkan kita ikut landasan yang betul, perkara baik kita buat untuk bangsa, kita buat kerana Allah. Itu asas, apa orang nak kata, nak cakap, nak tohmah, fitnah, biarkanlah.

“Apa yang penting kuatkan semangat jati diri kerana kita tahu kita buat perkara yang baik untuk anak-anak kita,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Katanya, program PERMATA sangat strategik dan dirancang dengan baik dipelbagai peringkat yang faham mengenai pendidikan awal kanak-kanak.

Rosmah ketika ditanya Program PERMATA dilihat eksklusif dan bersifat elit berkata:

“Ini bukan eksklusif. Sekolah PERMATA Pintar ada 300 pelajar. Lebih separuh kanak-kanak dari luar bandar. Kita beri biasiswa sebanyak 30 pelajar permata Insan berumur 9 hingga 10 tahun dan kita hantar umrah dengan visa khas Kerajaan Arab Saudi.

“Mereka mendapat pengalaman dalam usia muda menunaikan solat betul-betul imam di Tanah Suci Mekah. Kita juga ada Yayasan PERMATA menolong kanak-kanak yang tidak berkemampuan,” katanya.

 

 

 

 

 

Lihat Komen
ADS