Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja jabatan agama NS didakwa palsukan sijil sakit
Diterbitkan:  May 31, 2016 12:27 PM
Dikemaskini: 4:41 AM

Tiga penjawat awam hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Seremban atas pertuduhan menggunakan sijil cuti sakit palsu untuk menipu majikan mereka, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), sejak dua tahun lepas.

Mazlan Ahmad, 48, Rosyanizam Yahya, 38, dan Muhamad Hafiz Mohamad Sarpan, 33, yang didakwa secara berasingan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Rahimah Rahim.

Mazlan menghadapi tiga pertuduhan menggunakan sijil cuti sakit palsu itu untuk menipu JHEAINS di antara 2 Nov 2015 hingga 12 Dis 2015 manakala Muhamad Hafiz menghadapi empat pertuduhan menggunakan sijil cuti sakit palsu untuk tujuan sama di antara 27 Feb 2014 hingga 11 Nov 2015.

Rosyanizam pula menghadapi 13 pertuduhan menggunakan sijil cuti sakit palsu untuk menipu jabatan agama itu di antara 22 Dis 2014 hingga 18 April lepas.

Mereka masing-masing didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Rahimah membenarkan ketiga-tiga tertuduh masing-masing diikat jamin RM1,200 hingga RM1,700 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Keluarga kesemua tertuduh membayar ikat jamin itu dan mahkamah menetapkan 21 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainnan Mohd Rasid dan Siti Khadijah Mohd Pisol.

Kesemua tertuduh diwakili oleh Iwana Sakinah Mohd Lajis daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

- Bernama

Lihat Komen
ADS