Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibu dua anak dipenjara 4 hari curi susu formula

Gara-gara mencuri pelbagai jenis barang termasuk susu formula bayi di sebuah kompleks beli-belah, ibu dua anak dihukum penjara empat hari oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini. 
    
Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman itu ke atas Norlelawati Ibrahim, 28, selepas dia mengaku bersalah mencuri 12 jenis barang bernilai RM462.96 termasuk dua susu formula bayi milik Aeon Mid Valley, Kuala Lumpur pada 10.15 malam, 28 Mei lepas.
    
Mahkamah memerintahkan surirumah itu menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 28 Mei lepas.
    
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda dan bagi kesalahan kedua atau kemudian hendaklah dihukum dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
    
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhammad Faizal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal  mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.
    
Norlelawati yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia  dan suami masing-masing tidak bekerja serta mempunyai dua anak berumur 10 tahun dan tiga tahun.

-Bernama

Lihat Komen
ADS