Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS ikrar 'seribu langkah' di kerusi PKR, DAP

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berharap pucuk kepimpinan parti mengkaji semula agihan kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya akan datang.

Menurut beliau, ‎pembahagian kerusi wajar mengambil kira kekuatan jentera parti di kerusi yang ditandingi di samping pola sokongan pengundi mengikut komposisi umur dan tahap pendidikan.

"Cukuplah pengalaman lalu menjadi pengajaran, di mana tenaga ahli kita yang ikhlas dan patuh diperguna oleh rakan-rakan demi mencapai kemenangan.

"Kemudian ditinggalkan begitu sahaja," katanya ketika menyampaikan ucaptama Muktamar DPPM ke-57 di Kota Bharu hari ini.

Justeru katanya, sekiranya kepimpinan parti mengambil satu langkah berani untuk bertanding di kerusi yang selama ini dipinjamkan kepada PKR dan DAP‎, Pemuda PAS berikrar dan berjanji 'mengambil seribu satu langkah'.

Sementara itu, Nik Abduh berkata PAS tetap konsisten menentang kezaliman yang berlaku dalam negara. 

"Perkara yang benar akan disokong, perkara salah tetap ditentang dan ditegur," katanya. 

Bagi membuktikan perkara itu, katanya, PAS menyokong usaha kerajaan dalam memartabatkan Mahkamah Syariah tetapi tetap tidak bersetuju dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"PAS tidak bersetuju dan mengemukakan cadangan balas terhadap pelaksanaan GST, Dual Language Program (DLP)‎ dan perjanjian TTPA.

"Inilah konsep 'Ta'awun Siyasi' (tolong menolong) dilaksanakan PAS," katanya.

Sehubungan itu Pemuda PAS bertekad untuk menjuarai 'politik solusi'‎ seiring usaha 'memperkasa dan mentransformasi' imej parti Islam itu.

Politik solusi

Menurut beliau, Pemuda PAS perlu berperanan untuk menjiwai dan menjuarai politik solusi.

"Salah satu teras utamanya adalah bergerak berasaskan penyelesaian Islam.

"PAS hari ini perlu dilihat bukan sekadar menjadi pembangkang yang hanya tahu mengkritik kerajaan, tetapi rakyat ingin melihat apa solusi yang mampu ditawarkan sebagai penyelesaian masalah," katanya.

Nik Mohamad Abduh berkata, ‎dalam mengemukakan kritikan terhadap dasar kerajaan, pihaknya mengambil ketetapan bahawa setiap kenyataan akhbar dan memorandum pemuda PAS mengandungi cadangan penyelesaian.

Katanya, itu mengikut prinsip Islam dan meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

"Segala konsep, dasar dan program yang perlu diambil telah dikemukakan di dalam Dokumen Negara Berkebajikan, Dokumen Hijau dan manifesto pilihan raya.

"Di samping it‎u membangkitkannya dalam perbahasan Parlimen dan pelbagai kenyataan media yang menyusul," jelasnya yang juga anggota Parlimen Pasir Mas.

 

Lihat Komen
ADS