Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akta 355: Terlalu awal buat kesimpulan, kata Hisham

Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berkaitan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.    

Beliau berkata ini kerana, RUU itu baharu melepasi peringkat bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, dan masih perlu melalui beberapa proses sebelum dimuktamadkan.
    
"Kita perlu tunggu dan lihat kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan bahawa perkara itu perlu dibentangkan di Parlimen terlebih dahulu sebelum dibawa ke negeri-negeri dan Majlis Raja-Raja.
    
"Perbincangan mengenai rang undang-undang persendirian itu masih terlalu awal pada masa ini," katanya pada sidang media di sini hari ini, ketika ditanya sama ada UMNO akan menyokong rang undang-undang itu atau sebaliknya.
    
Di PARIT, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata RUU itu dijamin tidak akan menzalimi atau menyentuh hak serta keadilan masyarakat bukan Islam.
    
Beliau berkata undang-undang itu hanya dikenakan ke atas orang Islam dalam memperkasakan Mahkamah Syariah, khususnya berhubung penambahan hukuman untuk memastikan Mahkamah Syariah benar-benar berkesan sebagai badan kehakiman bagi masyarakat Islam.
   
Dalam pada itu, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata walaupun RUU itu diputarbelitkan, ia tidak akan memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar, 18 Jun ini.
    
"Kita akan terangkan kepada pengundi bahawa rang undang-undang ini tidak ada kena mengena dengan orang bukan Islam, itu yang penting...jaminan itu.
    
"Kita ada jentera pilihan raya untuk beri penerangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Peladang Kawasan Parit kali ke-39 hari ini.
    
Pada 26 Mei lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentang RUU persendirian bagi meminda Seksyen 2 akta tersebut untuk menyebut Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan. 
    
Abdul Hadi berkata ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A yang menyebut dalam melaksanakan undang-undang jenayah di bawah seksyen tersebut, Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman berkaitan kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan, selain hukuman mati.

-Bernama

Lihat Komen
ADS