KP Imigresen subjudis, kata Gobind
Dakwaan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Sakib Kusmi bahawa dia mempunyai kuasa untuk menghalang pengkritik kerajaan daripada meninggalkan negara ini adalah subjudis, dakwa Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.
Gobind berkata ini kerana isu mengenai bidang kuasa KP Imigresen itu hanya ditentukan oleh mahkamah dan terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan mengenai perkara itu.
Gobind merujuk Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang mencabar keputusan melarangnya ke luar negara walaupun tidak berdepan dengan sebarang tuduhan jenayah.
"Pada pendapat saya, komen ini subjudis dan tidak menghormati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang kini mendengar hujahan sama ada KP Imigresen mempunyai kuasa seperti itu atau tidak, dan jika ya, sama ada keputusan dibuatnya tertakluk kepada semakan kehakiman.
"Pua menyaman dia (Sakib) kerana menghalang perjalanannya ke luar negara dan beliau menyedari hakikat bahawa perkara itu belum diputuskan oleh mahkamah.
"Jadi mengapa dia tidak hormat dengan sekali lagi menegaskan kepada umum bahawa dia mempunyai kuasa ketika ia masih belum ditentukan oleh mahkamah?
"KP Imigresen boleh menjerit sekuat dia mahu tetapi mahkamah memutuskan sama ada Akta Imigresen memberikan dia kuasa untuk mengharamkan sesiapa daripada melancong ke luar negara sewenang-wenangnya," kata Gobind, yang bertindak sebagai peguam mewakili Pua.

