Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Muktamar Tahunan PAS ke-62 kali ini merupakan muktamar pertama setelah 'golongan profesional' meninggalkan parti Islam tersebut dan menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Berlangsung selama tiga hari bermula malam tadi, muktamar kali ini dijangka membincangkan pelbagai isu antaranya usul Rang Undang-undang Persendirian Akta 355 yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen minggu lalu.

Antara perkara lain yang dijangka dibangkitkan ialah penubuhan pasukan khas bagi memberi penjelasan lebih terperinci mengenai undang-undang berkenaan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.

Selain itu, perkara yang akan menjadi tumpuan pada muktamar kali ini juga ialah usul yang diluluskan Muktamar Dewan Muslimat semalam.

Usul itu meminta supaya PAS mengkaji semula hubungan tahaluf siyasi bersama PKR terutamanya bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Usul dari perwakilan Muslimat Kedah itu timbul selepas PKR dilihat seolah-olah tidak menghormati PAS apabila menjalankan kerjasama dengan AMANAH yang didakwa banyak melempar pelbagai dakwaan terhadap parti Islam berkenaan.

Dalam muktamar tahun lalu, PAS meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP dan ia kemudiannya dibawa ke Majlis Syura dan diluluskan.

Malah, muktamar yang akan dihadiri kira-kira 2,000 orang perwakilan dari seluruh negara itu juga akan turut membincangkan perkara yang melibatkan pilihan raya umum ke-14 selepas PAS keluar daripada Pakatan Rakyat.

Ia bagi mengenal pasti hala tuju parti dalam pilihan raya umum akan datang, di samping mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera iaitu tema muktamar kali ini.

Usul lain yang dijangka turut dibangkitkan perwakilan ialah mengenai dua pilihan raya kecil pada 18 Jun depan apabila PAS berdepan dengan parti serpihannya AMANAH dan BN.

Muktamar kali ini diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK).

Sebelum ini ia dijadualkan bermula pada 31 Mei hingga 4 Jun namun disingkatkan masa muktamar bagi menghadapi dua pilihan raya kecil - Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar. Hari penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun.

Tiga sayap parti berkenaan- Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat - masing-masing telah mengadakan muktamar mereka pada 31 Mei dan 1 Jun.

Lihat Komen
ADS