Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Jason Loo mencabar seorang anggota exco untuk berdebat mengenai "isu terowong dasar laut dan demokrasi" di Dewan Sri Pinang pada pukul 2 petang, 11 Jun ini.

Loo berkata Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Lim Hock Seng menyatakan kerajaan negeri bersedia bertindak terhadap mereka yang terus memfitnah walaupun penjelasan dibuatnya berkenaan terowong bawah laut itu.

"Wow, apa tindakan kerajaan negeri pimpinan DAP mahu ambil? Saya cabar Lim menyatakan undang-undang mana membolehkan beliau mengambil tindakan terhadap proses semak dan imbang," kata Loo pada sidang akhbar di George Town hari ini.

"Jika dia tidak memahami demokrasi, maka hendaklah diam dan buat kerja rumah dan jawab dengan sewajarnya," kata Loo.

Beliau kemudian mencabar Lim untuk berdebat minggu depan.

Pada 25 Mei, Lim mengeluh kerana walaupun penjelasan terperinci dibuat pada 9 dan 12 Mei, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan enggan memahami perkara itu.

Lim berkata beliau kesal kerana Rahman, yang juga Pengarah Strategi BN, tidak menerima tawaran kerajaan Pulau Pinang untuk melihat sendiri semua dokumen yang berkaitan dengan terowong dan Pelan Induk Pengangkutan (PIP).

Loo berkata rakyat Pulau Pinang bimbang mereka mungkin perlu membayar kos tambahan, mungkin sebidang tanah lagi, untuk menampung kos bagi Penilaian Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) bagi terowong dasar laut dan tiga jalan utama.

Beliau berkata rakyat Pulau Pinang juga bimbang mungkin ada pihak yang akan "mengambil kesempatan dan membuat wang" dalam transaksi mega itu.

Loo memetik beberapa laporan media arus perdana yang memetik Lim sebagai berkata bahawa kajian feasibility, reka bentuk terperinci dan DEIA menelan kos RM305 juta.

[Baca berita penuh]