Pegawai Perikanan, Ismail Abu Hassan, 51, adalah `wakil rakyat' kepada 5,000 masyarakat nelayan Kota Kuala Muda, Kedah. Walaupun baru tiga tahun di tempat tersebut, beliau sudah mendapat tempat di hati nelayan setempat.

Ismail, ayah kepada empat anak ini, berasal dari Kuala Kedah, Alor Star, tetapi hampir 23 tahun bertugas di Perak sebelum ditugaskan di Sungai Petani pada 2001.

Dan masyarakat nelayan Kuala Muda salah satu perkampungan nelayan yang dilanda tsunami 26 Disember lalu menganggapnya sebagai `wakil rakyat' mereka. Bagi mereka, Ismail telah melakukan segala-galanya untuk membantu nelayan tempatan

Kereta Kancil miliknya adalah `pengangkutan awam' kepada masyarakat nelayan Kuala Muda. Kenderaan itu bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga mengangkut nelayan atau anak-anak mereka ketika dalam kesusahan.

Sikap bertanggungjawab dan bekerja keras ini terserlah ketika tsunami melanda perkampungan nelayan Kuala Muda pada 26 Disember lalu. Beliau bekerja siang malam untuk membantu mangsa tsunami tersebut.

"Sebaik tsunami melanda, saya berkhemah di Kuala Muda. Saya melihat sendiri ombak besar melanda rumah-rumah nelayan. Mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Minta sumbangan

"Nelayan kehilangan nyawa, rumah dan harta benda. Ada seorang anak nelayan yang belajar di pusat pengajian tinggi di Selangor terpaksa berhenti kerana keluarga tidak mampu menanggung setelah bot mereka musnah.

"Apabila tsunami reda, saya mencari jalan untuk membantu nelayan supaya dapat bekerja semula. Saya menemui pelbagai pihak, baik kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk meminta mereka membantu mereka," katanya.

Malaysiakini berkesempatan menemui beliau di Kuala Muda ketika beliau sibuk menguruskan persiapan bagi majlis penyerahan bot sumbagan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) kepada 17 nelayan Kuala Muda baru-baru ini.

Sumbangan bot oleh UNDP itu, adalah antara usaha Ismail untuk membantu nelayan kembali semula ke laut setelah bot mereka musnah atau rosak dilanda tsunami.

Beliau bertemu dan berbincang berulangkali dengan Penyelaras UNDP Malaysia, Dr Richard Leete untuk memohon sumbangan dan hasilnya UNDP membantu pembiayaan pembinaan 17 bot yang lengkap dengan pukat dan enjin.

"Hanya nelayan yang boleh memahami penderitaan nelayan. Saya dapat menyelami betapa sukarnya kehidupan mereka kerana tidak dapat ke laut menangkap ikan," terangnya lagi.

Kebajikan anak nelayan

Rekod Jabatan Perikanan Kuala Muda menunjukkan jumlah kerugian keseluruhan menjangkau RM4 juta. Bilangan sampan dan bot yang musnah atau rosak kesemuanya berjumlah 207 buah.

Bagi Ismail, bencana telah berlaku tetapi nelayan perlu meneruskan kehidupan dan caranya ialah dengan menggantikan bot yang musnah atau rosak itu.

Masyarakat nelayan Kuala Muda sangat menyanjung tinggi kerja keras Ismail untuk memastikan nelayan yang terjejas itu dapat bekerja semula bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.

"Kami, tua atau muda, semuanya kenal Ismail. Beliau seorang yang ringan tulang dan mengutamakan kebajikan nelayan," kata seorang nelayan Othman Awang dari Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda.

"Beliau mengambil berat semua perkara, bukan sahaja mengenai kehidupan nelayan tetapi keperluan dan kebajikan anak-anak mereka," tambahnya.

Atas kerja keras Ismail, UNDP menyumbangkan 17 bot kaca gentian kepada nelayan Kuala Muda yang disampaikan sendiri oleh Penyelarasnya di Malaysia, Dr Richard di pantai perkampungan nelayan itu hujung minggu lalu.

Laporan polis

Bagaimanapun, masih ada sebilangan kecil komuniti nelayan yang memandang serong dan cuba memburuk-burukkan Ismail dengan menyebarkan berita yang palsu.

Menurut Ismail, seorang nelayan telah membuat laporan polis ke atasnya kerana tidak berpuas hati terhadap pembahagian bot sumbangan UNDP dengan dakwaan berlaku pilih kasih dan tidak adil.

"Saya tidak boleh membahagikan 17 bot tersebut kepada semua nelayan Kuala Muda yang berjumlah 700 orang. Bagaimanapun, polisi kita ialah mendahulukan kepada pemilik bot paling teruk rosak," katanya.

Beliau berkata, tidak kurang juga menuduhnya mengutamakan 'kroninya' meskipun urusan pembahagian bot itu adalah sangat telus dengan pengawasan yang teliti pegawai UNDP.

Malah pemilihan pembahagian 10 bot kepada nelayan Kuala Muda dibuat secara cabutan undi di depan nelayan sendiri yang menurut Ismail, untuk mengelakkan berlaku penyelewengan.

Ismail berkata, beliau tidak akan bertindak balas terhadap mereka yang cuba menjatuhkannya meskipun tahu siapa yang melakukannya.

Katanya, bukan sikap beliau untuk melakukan itu semua tetapi mahu nelayan Kuala Muda bekerja kuat untuk membina kehidupan baru setelah begitu parah dilanda bencana tsunami pada 26 Disember lalu.