Pemilikan Bukit Cahaya Seri Alam - Selangor atau Pusat?
Usaha untuk memastikan Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam terus kekal sebagai taman pertanian dan tidak digantikan dengan projek pembangunan lain, adalah lebih penting daripada soal siapa pemilik tanah berkenaan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Usaha untuk memastikan Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam terus kekal sebagai taman pertanian dan tidak digantikan dengan projek pembangunan lain, adalah lebih penting daripada soal siapa pemilik tanah berkenaan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
"Isu siapa yang akan memiliki tanah itu tak penting sangat. Isunya ialah untuk menjadikan kawasan itu taman pertanian," katanya kepada pemberita di Putrajaya.
Perdana Menteri mengulas laporan akhbar berhubung kenyataan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu taman pertanian itu kekal menjadi milik kerajaan Selangor dan tidak dipindah milik kepada kerajaan pusat.
Menurut laporan Bernama , Abdullah berkata, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo ada membayangkan kepada beliau mengenai kehendak Sultan Selangor itu.
Baru-baru ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin
mengumumkan keputusan kabinet supaya taman pertanian seluas 886 hektar itu diserahkan kepada kerajaan persekutuan.
Ini berikutan laporan meluas berhubung pembangunan tidak terkawal di sekelilingnya sehingga menyebabkan kerosakan ekologi kepada taman pertanian milik kerajaan negeri Selangor yang dikelolakan oleh kementerian yang diterajui Muhyiddin.
Pekerja asing
Abdullah berkata kerajaan perlu memperbaiki dan mengindahkan taman itu demi menjaga sistem ekologi dan biodiversiti yang ada.
"Saya percaya kerajaan Selangor tidak ada bantahan tentang perkara ini. Isu siapa punya tanah itu adalah isu yang boleh diselesaikan dengan kaedah lain," katanya lagi.
Mengenai pekerja asing, Perdana Menteri berkata, banyak negara ingin menghantar rakyat mereka untuk bekerja di Malaysia berikutan kesukaran majikan mendapatkan kembali pekerja Indonesia yang pulang melalui program pengampunan.
"Kita kena beri perhatian kepada mereka (pekerja dari negara luar). Inilah maksudnya mempelbagaikan sumber-sumber (tenaga kerja) itu," katanya.
"Saya yakin akan terdapat cukup pekerja datang ke Malaysia," kata Abdullah.
Majikan daripada pelbagai sektor dilaporkan mengeluh kerana terpaksa berdepan dengan gangguan operasi ekoran masalah tidak cukup pekerja.

