2 pertuduhan menanti artis 'PM badut'
Aktivis dan artis grafik Fahmi Reza berkata beliau akan berdepan dua pertuduhan susulan “karya grafiknya” di Internet, termasuk menggambarkan wajah perdana menteri sebagai badut.
Sebuah lagi pertuduhan, katanya, berkaitan status parodi berkaitan amaran Akta Komunikasi dan Multimedia di akaun Facebook.
Fahmi berkata beliau diberitahu di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, supaya hadir di hadir di Mahkamah Sesyen Jalan Duta pada 6 Jun untuk pertuduhan pertama dan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada 10 Jun (pertuduhan kedua).
Beliau berkata akan didakwa bawah Seksyen 233(1)(a) Akta SKMM 1988 kerana menunjukkan niat menyakitkan hati orang lain.
“Saya lihat ini bukan serangan pada saya saja tetapi juga serangan pada satira politik,” katanya kepada Malaysiakini.
Lakaran karya grafik Fahmi itu mendapat populariti meluas dan menghias dada akhbar di pelbagai negara.
Ia dibuat sebagai tanda protes kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang terpalit kontroversi dakwaan skandal 1MDB dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.
Najib menafikan terlibat dalam salah laku, manakala Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali sebelum ini telah membersihkan namanya dalam isu itu.

