Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga ahli parlimen Gelang Patah hari ini berkata, MCA telah kehilangan kepercayaan di kalangan ahli-ahlinya sendiri.

Lim yang kini memegang jawatan ketua ahli-ahli parlimen DAP berkata, kepimpinan MCA gagal untuk belajar dari apa yang berlaku selepas pilihan raya umum (PRU) tahun 2013.

"Daripada parti komponen kedua terbesar dalam BN, sejak PRU 2013, MCA telah bertukar menjadi parti kecil 7/11.

Dalam PRU yang lalu, MCA hanya memenangi tujuh kerusi parlimen dan 11 dewan undangan negeri.

Di sebalik prestasi tersebut, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini mendedahkan parti itu kini mempunyai seramai lebih satu juta ahli, kata Lim lagi.

"Ini bermakna hanya sekitar 30 peratus daripada ahli-ahli MCA mengundi calon-calonnya pada 2013.

"Jumlah pengundi yang didapati oleh calon-calon kerusi parlimen MCA pada 2013 berjumlah 867,851. Dengan tanggapan sekitar dua pertiga daripada undi-undi ini adalah dari Umno, ini bermakna hanya 280,000 hingga 300,000 ahli MCA yang mengundi calon-calon MCA – mewakili 30 peratus atau kurang daripada jumlah keahlian MCA.

"Sebab kenapa semua ini berlaku sangat mudah – MCA bukan sahaja kehilangan kepercayaan dan keyakinan rakyat Malaysia sahaja, malaj juga masyarakat Cina dan majoriti ahli-ahli MCA," katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Lim mencabar Liow untuk berdepan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menentukan sama ada rang- undang-undang ‘hudud’ sememangnya melibatkan kanun keseksaan Islam atau tidak.

Ini berikutan tindakan Liow dan menteri-menteri bukan Umno yang mengancam untuk meletak jawatan kabinet jika rang undang-undang persendirian yang dibentangkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang diluluskan di Parlimen.

Najib pula mendakwa rang undang-undang itu hanya salah faham besar oleh MCA, Gerakan dan MIC, jelas Lim.

[Baca berita penuh]