Zaid akan kemuka usul desak Burma di Dewan Rakyat
Satu usul yang mendesak Burma supaya melaksanakan pembaharuan demokrasi di negara itu, akan dikemukakan untuk dibahas di Dewan Rakyat yang akan bersidang mulai 21 Mac ini.
Satu usul yang mendesak Burma supaya melaksanakan pembaharuan demokrasi di negara itu, akan dikemukakan untuk dibahas di Dewan Rakyat yang akan bersidang mulai 21 Mac ini.
Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi Kota Bharu, Zaid Ibrahim berkata beliau akan mengemukakan usul berhubung isu Burma di Dewan Rakyat dan berharap ianya akan dibahaskan.
"Sokongan terhadap isu-isu berhubung Myanmar (Burma) semakin meningkat, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di kalangan ahli-ahli Parlimen Asean," kata Zaid yang juga mempengerusikan Kokus Antara Parlimen Asean mengenai Demokrasi di Burma (AIPMC) kepada malaysiakini hari ini.
Usul mengenai Burma itu adalah yang kedua pernah dikemukakan di Parlimen Malaysia. Usul pertama dibuat sewaktu persidangan Disember lalu. Sejak itu, sokongan dari ahli-ahli Parlimen BN terhadap isu tersebut semakin meningkat.
Langkah segera
Usul tersebut dianggap semakin mendesak kerana Burma bakal menjadi pengerusi Asean mulai Julai tahun depan, yang bermakna semua mesyuarat Asean dan yang berkaitan dengannya, akan diadakan di negara junta tentera itu.
Burma - yang kemudian ditukar kepada Myanmar oleh regim tentera negara itu bakal menjadi menggantikan Malaysia sebagai pengerusi Asean yang dipegang secara bergilir-gilir antara negara anggotanya setiap tahun berdasarkan kepada aturan abjad.
Banyak negara Asean tidak selesa dengan Burma menjadi pengerusi pertubuhan itu, terutama kesannya terhadap hubungan Asean dengan rakan perdagangan utama mereka Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) kedua-duanya merupakan pengkritik hebat kerajaan tentera Burma itu.
Amerika dan EU dijangka memboikot mesyuarat Asean yang akan diadakan di Burma, dan ini pastinya akan turut memburukkan lagi ketegangan sedia ada antara Asean dengan Amerika serta EU.
Bagi mengelak timbulnya masalah tersebut, Burma perlu sama ada melaksanakan pembaharuan demokrasi di negara itu atau menolak menjadi pengerusi Asean sesuatu yang pastinya tidak mahu dilakukan oleh kerajaan tentera Burma, memandangkan ianya merupakan satu jawatan yang berprestij.
Zaid juga menyatakan beberapa perubahan yang mahu dilihatnya berlaku di Burma.
"Kita mahu mereka (Burma) melaksanakan kesemua prinsip dalam 'peta tujuh perkara ke arah demokrasi'. Mereka mesti, sepertimana yang mereka kata akan dilakukan, membebaskan Aung San Suu Kyi dan membabitkan partinya dalam program perdamaian kebangsaan," kata Zaid.
Perubahan nyata
Pejuang demokrasi Suu Kyi kini ditahan bagi kali ketiga selepas ditangkap kerana terus menerus memperjuangkan demokrasi di negaranya.
Beliau merupakan setiausaha agung parti Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD), yang menang besar dalam pilihanraya umum di Burma pada 1990, tetapi dihalang daripada menubuhkan kerajaan.
NLD serta lapan parti lain yang menguasai 91 peratus kerusi juga tidak dibabitkan dalam proses perdamaian kebangsaan untuk mendraf perlembagaan negara itu.
Konvensyen kebangsaan pertama diadakan pada 1993 dan para pengkritik menganggapnya satu helah pihak tentera, yang juga dikenali sebagai Majlis Pembangunan dan Kedamaian Negara (SPDC), untuk mengelak mengadakan sidang Parlimen selepas pilihanraya tersebut.
"Tanpa pembaharuan ini dilihat berlaku di Myanmar (Burma) di samping amalan sebenar demokrasi, saya percaya ia tidak boleh dibenarkan menjadi pengerusi Asean," kata Zaid.
Sokongan PM
Malaysia adalah antara enam negara yang mempunyai wakil di AIPMC. Yang lainnya ialah Cambodia, Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina. AIPMC juga dianggotai oleh ahli Parlimen Burma dalam buangan.
"Bukan kita di Malaysia sahaja yang membuat desakan itu, tetapi juga ahli-ahli parlimen Asean yang lain. Yang jelas sokongan semakin meningkat," katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan Burma perlu mengambilkira desakan daripada negara-negara jirannya.
Usul yang sama dijangka dikemukakan di Parlimen beberapa negara anggota Asean yang lain.
Bagaimanapun, Zaid berkata, tiada tempoh masa ditetapkan bagi pembaharuan itu dilaksanakan di Burma ataupun tarikh akhir ditetapkan bagi Burma akur dengan desakan AIPMC itu.
Ditanya sama ada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri turut menyokong usul tersebut, Zaid berkata, beliau percaya mereka juga menyokongnya.

