'Kalau kamu rasa aku takut, kamu silap orang'
Aktivis Fahmi Reza dibebaskan pagi ini selepas ditahan semalam kerana menjual T-shirt memaparkan wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan muka badut.
"Kalau kamu fikir tindakan kamu ini boleh takutkan aku dan patahkan semangat aku untuk terus melawan korupsi penguasa menggunakan seni sebagai senjata, kamu silap orang," kata Fahmi dalam catatan di Facebooknya hari ini.
Beliau menulis catatan tentang pembebasannya pada pukul 5 pagi tadi.
"Kamu boleh tangkap aku, tangkap kawan-kawan aku, rampas barang-barang aku, tahan aku, soal siasat aku, dakwa aku, letakkan aku dalam perbicaraan, ambil hak aku dan cuba senyapkan aku, tapi kamu tak boleh hentikan aku.
"Tak kira berapa keras kamu cuba tolak aku ke bawah, aku sentiasa akan bangkit semula," tulis Fahmi.
Sebelum ditangkap, beliau mempromosikan T-shirt 'KitaSemuaPenghasut' di Alternative Bookfest KL (Klab) di Publika, Kuala Lumpur.
Menurut Pengarah Eksekutif Institut Rakyat, Yin Shao Loong, tiga yang lain turut ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di bawah Akta Hasutan 1948.
Mereka ialah penganjur acara Pang Khee Teik, aktivis masyarakat Lew Pik-Svonn dan artis komik Arif Rafhan Othman.
Menurut Lew dalam catatan berasingan, ketiga-tiga mereka dibebaskan bersama Fahmi pada pukul 3 pagi.
Fahmi menyatakan pihak berkuasa boleh merampas seberapa banyak T-shirt yang mereka suka kerana beliau dan rakan-rakannya akan mencetak lebih banyak baju dan pelekat.
"Ada masanya kita terpaksa singkirkan perasaan takut untuk bangkit sendirian bila melawan penindasan agar ia bisa menanamkan keberanian kepada yang lain untuk turut sama bangkit melawan," katanya, sambil menambah dia akan kembali beraksi di Publika hari ini.

