Mufti: Elak media sosial, fokus Ramadan
Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman mahu umat Islam perlu mengehadkan penggunaan media sosial sepanjang bulan Ramadan dan sebaliknya lebih menumpukan kepada aktiviti berbentuk kerohanian.
Menurutnya, Ramadan adalah masa yang terbaik untuk melatih diri daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah dan membazir masa.
“Elakkan kita daripada mengumpat, fitnah dan mengutuk di sosial media. Bukan sahaja kawal nafsu makan dan minum tetapi menahan diri daripada melakukan dosa.
“Ubah tradisi kita yang selalu kita buat, gajet yang ada kita gunakan untuk buka al-Quran, banyakkan masa dengan beribadah,” katanya yang dipetik portal Utusan Online.
Abdul Rahman berkata, Ramadan merupakan bulan terbaik untuk melakukan aktiviti kerohanian kerana ganjaran pahalanya adalah dua kali ganda.
Beliau juga menasihatkan masyarakat beragama Islam supaya perlu menginsafi nasib fakir miskin dan golongan yang kurang bernasib baik di negara lain.
“Pada bulan puasa ini, umat Islam digalakkan mengambil makanan berkhasiat ketika berbuka dan bersahur tetapi malangnya masih ramai dalam kalangan kita berbuka dengan pelbagai hidangan.
“Berbelanja dengan berpada-pada ketika membeli makanan untuk berbuka dan elak daripada melakukan pembaziran,” katanya
Portal itu turut memetik Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang menasihatkan umat Islam supaya tidak terlalu ghairah memuat naik gambar makanan dalam media sosial.
“Bukanlah haram jika muat naik gambar kerana Rasulullah SAW bersabda, kalau kita beli makanan atau masak dan kemudian jiran kita terhidu baunya, sunat kita berikan kepada jiran jika mereka itu orang senang. Namun, jika jiran kita kelaparan, maka hukumnya wajib.
“Gambar merupakan kias. Bukan haram tetapi janganlah terlalu menunjuk sebab bukan semua orang mampu membeli apa yang kita tayangkan itu,” katanya.

