Datuk Zaid Ibrahim memohon maaf kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali kerana mencadangkan agar beliau digantikan dengan individu lain untuk jawatan tersebut dalam seminar hujung minggu lalu.

Bekas menteri di jabatan perdana menteri itu berkata, penyesalan beliau itu muncul setelah Yang di-Pertuan Agong mengurniakan darjah kebesaran dan penghormatan tertinggi kepada  Mohamed Apandi, baru-baru ini.

Pada 4 Jun lalu, Mohamed Apandi mengetuai senarai 1,546 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan 2016 bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Mohamed Apandi adalah penerima tunggal Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran 'Tan Sri'.

Dalam catatan di blog miliknya yang sarat dengan unsur-unsur sindiran, Zaid sempat mengucapkan tahniah kepada Apandi dan keluarganya.

Mendakwa membuat cadangan itu dalam tergesa-gesa, Zaid turut meminta Apandi agar memaafkan kejahilannya mengenai banyak 'sumbangan besar' Apandi kepada negara.

Menurut beliau, kurniaan darjah kebesaran setinggi itu dalam masa kurang daripada setahun menduduki pejabat berkenaan adalah sesuatu yang hebat.

Jika dalam istilah bola sepak pula, katanya, Mohamed Apandi akan dirujuk sebagai "khas".

"Kejahilan saya berpunca daripada kealpaan mengenai apa yang Peguam Negara telah dilakukan sejak 10 bulan yang lalu untuk layak menerima kurniaaan itu, kerana kebanyakan hal ehwal kerajaan adalah 'rahsia'.

"Jadi, saya tidak perlu dipersalahkan kerana terburu-buru membuat kesimpulan bahawa Apandi bukan orang yang sesuai sebagai AG. Saya hanya tidak mempunyai maklumat yang betul, " katanya.

[Baca berita penuh]