Pedofil warga Britain, Richard Huckle dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah London hari ini kerana melakukan jenayah seks terhadap 23 kanak-kanak dan bayi Malaysia dan Kemboja selama hampir sedekad yang lalu.

Huckle, 30, berdiri di kandang tertuduh di mahkamah Old Bailey di London dengan tangannya tergenggam apabila diberitahu dia akan meringkuk untuk tempoh sekurang-kurangnya 23 tahun dalam penjara kerana melakukan jenayah terhadap mangsa yang berumur 6 bulan hingga 11 tahun.

"Adalah sangat jarang untuk seorang hakim menjatuhkan hukuman ke atas pesalah seksual sehingga ke tahap seperti ini ," kata Hakim Peter Rook, memetik laporan Reuters.

Ketika Huckle beredar keluar selepas dijatuhkan hukuman itu, seorang wanita yang duduk di galeri awam menjerit: "Walau seribu kematian sekalipun, ia masih terlalu baik untuk anda".

Huckle mengaku bersalah terhadap 71 kesalahan dan ditemui dengan lebih 20,000 imej lucah kanak-kanak dalam komputer beliau dan kameranya ketika ditahan di Lapangan Terbang Gatwick pada 2014.

Beliau adalah salah seorang pendera seks kanak-kanak paling zalim diketahui telah beroperasi di Malaysia, dengan pihak berkuasa tempatan dikritik kerana gagal menangani jenayah seks terhadap kanak-kanak .

[Baca berita penuh]