Pemimpin PKR N Surendran memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan hasutan terhadapnya atas alasan bahawa ia adalah satu gangguan terhadap tugasnya sebagai seorang peguam.

"Saya didakwa mengucapkan kenyataan (hasutan) itu apabila saya keluar dari mahkamah selepas mewakili (mantan ketua pembangkang) Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan.

"Oleh kerana ia melibatkan sesuatu yang saya dakwa berkata dalam kapasiti saya sebagai seorang peguam, maka ia adalah gangguan terhadap tugas peguam.

"Atas sebab itu, caj (hasutan) perlu diketepikan atau dibatalkan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Permohonan itu difailkan hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Surendran, yang juga ahli parlimen Padang Serai, berkata pertuduhan hasutan terhadapnya adalah pelanggaran Akta Profesion Undang-Undang 1976 serta prinsip asas Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai peranan peguam.

Beliau juga percaya pertuduhan itu berniat jahat dan juga prosiding jenayah terhadapnya merupakan penyalahgunaan proses yang serius.

Ini adalah justifikasi beliau dalam afidavit yang difailkan agar pertuduhan terhadapnya dibatalkan.

Mereka kini menunggu tarikh untuk mendengar permohonannya ditetapkan.

Surendran pertama kali didakwa di bawah Akta Hasutan kerana kenyataan beliau mengenai kes Liwat II dihadapi Anwar pada Ogos 2014.

Beliau didakwa berkata pertuduhan itu adalah konspirasi politik melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika meninggalkan Mahkamah Persekutuan pada 8 Ogos 2014.