Forum: Kota Bharu patut mulakan pilihanraya kerajaan tempatan
Terjemahan Forum awam anjuran DAP mengenai pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan Ahad lalu telah menerima pelbagai cadangan, termasuk cadangan supaya Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) memulakannya untuk memilih separuh daripada ahli-ahlinya.
Terjemahan Forum awam anjuran DAP mengenai pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan Ahad lalu telah menerima pelbagai cadangan, termasuk cadangan supaya Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) memulakannya untuk memilih separuh daripada ahli-ahlinya.
Blogger Jeff Ooi mencadangkan supaya MPKB di Kelantan yang diperintah oleh PAS, mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan bagi memilih 12 daripada 24 ahli majlis tersebut.
Bercakap sewaktu sesi soal-jawab, beliau berkata, cara tersebut dapat mengelak daripada terikat dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (LGA) yang mengharamkan pilihanraya PBT.
Beliau mendakwa akta tersebut telah dicemari kerana ianya tidak dipatuhi oleh pihak berkuasa tempatan.
Beliau juga mendakwa, dua kerajaan tempatan di Selangor tidak mematuhi akta tersebut apabila melantik ahli bergaji yang ke-25 sedangkan undang-undang peruntukan perlantikan seorang yang dipertua dan 24 ahli majlis.
Seorang lagi peserta mencadangkan supaya diwujudkan 'kerajaan peringkat keempat' sebagai tambahan kepada kerajaan pusat, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.
"Di sinilah pemaju dan syarikat konsesi lebuhraya membuat keputusan harian mengenai jalan yang hendak ditutup, lencongan jalan, tempoh masa lampu isyarat, dan perkara-perkara yang membabitkan kita secara langsung sebagai pembayar cukai."
Pihak mahkamah
Forum tersebut diadakan sebagai sebahagian daripada kempen DAP peringkat kebangsaan untuk mendapatkan sokongan untuk mendesak supaya pilihanraya kerajaan tempatan diadakan semula selepas 40 tahun ianya digantung.
Satu lagi cadangan dari peserta forum itu ialah untuk menemui Ratu Elizabeth II supaya diadakan semula pilihanraya peringkat kerajaan tempatan melalui tindakan ketenteraan.
Mengenai cadangan supaya LGA dipinda, peguam Ramdas Tikamdas yang bercakap mengenai aspek perundangan pilihanraya kerajaan tempatan di forum itu, berkata pihak mahkamah akan keberatan untuk membuat undang-undang.
"Kita tidak boleh bergantung kepada pihak mahkamah untuk melakukan ini. Pertukaran dalam undang-undang hanya boleh dilakukan oleh Parlimen dan itu memerlukan kempen dijalankan ke seluruh negara untuk menjadikan undi ketiga ini sebagai agenda rakyat dalam pilihanraya umum akan datang."
Beliau menjelaskan bagaimana pilihanraya kerajaan tempatan digantung selepas pengisytiharan darurat pada 3 September 1964 dan masih berkuatkuasa sehingga hari ini.
"Penggantungan itu dibuat melalui enakmen Peraturan Darurat (Penggantungan Pilihanraya Kerajaan Tempatan) 1965 dan Pindaan Peraturan 1965.
"Pada Jun 1965, kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Kerajaan Tempatan (Laporan Athi Nahappan) untuk mengkaji operasi kerajaan-kerajaan tempatan," katanya.
Menurutnya, laporan tersebut yang menyokongkan supaya pilihanraya kerajaan tempatan diadakan, patut dilaksanakan sekarang.
Antara perakuannya, kata Ramdas, ialah supaya ibu negara diuruskan oleh kerajaan tempatan yang dipilih yang diperluaskan kepada semua majlis tempatan.
DAP juga telah menyerahkan memorandum mengenainya kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka Ting dan berharap dapat menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di akhir kempen tersebut hujung tahun ini.
Calon bebas
Laporan itu juga mencadangkan supaya satu undang-undang yang digunapakai di seluruh negara berhubung pengurusan pihak berkuasa tempatan, digubal dan dikuatkuasakan dalam tempoh enam bulan selepas ianya diluluskan oleh Parlimen.
Katanya, laporan tersebut juga mencadangkan supaya sebuah badan yang dianggoti sepenuhnya oleh ahli yang dipilih dengan mempunyai autonomi kewangan dan pentadbiran di bawah kawalan kerajaan negeri berhubung isu-isu di peringkat kebangsaan.
"Calon-calon hendaklah mempunyai hak untuk bertanding sebagai calon bebas," kata Ramdas ketika menyentuh beberapa fakta penting dalam laporan tersebut.
"Perakuan-perakuan suruhanjaya itu tidak pernah dilaksanakan. Selepas Konfrontasi (pada 1963 dengan Indonesia), berlaku pula peristiwa pergaduhan kaum pada 1969 dan pengisytiharan baru darurat."
Seorang peserta juga mencadangkan supaya diadakan kempen peringkat antarabangsa kerana "golongan remaja tidak tahu langsung mengenai undi ketiga ini."
"Kita mesti memberitahu seluruh dunia bahawa Malaysia tidak mempunyai pilihanraya kerajaan tempatan walaupun kini menjadi pengerusi Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) dan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam badan-badan peringkat rantau dan antarabangsa."
Ketika menjawab satu soalan dari para hadirin, ahli penal Dr Goh Ban Lee yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam pentadbiran perbandaran berkata orang ramai mesti meminta supaya pelan struktur dan pelan tempatan diwartakan.
"Dokumen-dokumen ini mesti diwartakan supaya ia mempunyai status kontraktual di antara pihak berkuasa temppatan dan pembayar cukai," kata beliau yang juga pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM).
Majlis Raja-Raja
Terdapat juga pandangan bahawa pilihanraya kerajaan tempatan tidak akan berjaya dipulihkan di Kuala Lumpur kerana pengaruh wang dan kuasa yang terlalu besar.
"Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur enggan mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan kerana belanjawan Dewan Bandaraya lebih besar daripada belanjawan kerajaan negeri," kata seorang lagi peserta.
Satu lagi cadangan ialah supaya petisyen untuk memulihkan undi ketiga ini dihantar untuk pertimbangan Majlis Raja-Raja.
Dalam reaksi terhadap cadangan-cadangan tersebut, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata jawatankuasa kempen itu merancang untuk menghatar memorandum kepada semua kerajaan negeri.
Beliau menyifatkan cadangan mengenai Kelantan dan supaya mendapatkan sokongan ahli-ahli Parlimen sebagai 'cadangan yang menarik".
"Malah, kita telah cuba untuk menjemput Datuk Mohamed Zaid Ibrahim yang turut menyokong pemulihan undi ketiga ini, tetapi mungkin beliau merasakan tidak sesuai di segi politik, untuk menghadiri forum ini," katanya.
Zaid, ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi Kota Bharu dan seorang pemimpin Umno Kelantan telah menyatakan sokongannya terhadap inisiatif tersebut.
"Kami juga merancang untuk menjemput Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya (Lee Hwa Beng) tetapi beliau tidak 'baik' sangat dengan DAP selepas isu tarian gelek (Januari lalu)," kata Lim.
"Jadi, kita mulakan dengan menghantar poskad kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terlebih dahulu sebelum kita merancang menghantar petisyen kepada Majlis Raja-Raja."
DAP telah mencetak 3,000 poskad dalam empat bahasa utama di negara ini, yang mendesak Perdana Menteri supaya memulihkan undi ketiga "demi demokrasi, pemerintahan yang baik, pemerintahan undang-undang, akauntability dan ketelusan".
Menurut Lim, partinya akan melihatkan tahap sokongan ahli-ahli Parlimen apabila Dewan Rakyat bersidang minggu depan.

