Seorang pelakon wanita ditahan polis kerana disyaki mengedar dadah dalam serbuan di sebuah rumah pangsapuri di PJS 10, Taman Seri Subang di Petaling Jaya, awal pagi ini.

Pelakon yang juga pragawati berusia 34 tahun itu, ditahan bersama dua wanita dan empat lelaki, susulan tangkapan seorang wanita bersama dadah di tempat letak kereta pangsapuri itu sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Muhammad Fuad Talib berkata wanita dan lelaki yang ditahan bersama pelakon yang terkenal pada awal 90-an itu, berumur di antara 25 dan 33 tahun.

Menurut laporan Bernama , pasukan bahagian narkotik menjumpai ganja seberat 207.5 gram dan serbuk kristal dadah syabu seberat 3.6 gram bernilai RM1,000, wang tunai RM3,400 dan alat penimbang di rumah itu.

Muhammad Fuad berkata sebahagian besar dadah itu dijumpai dalam bilik tidur pelakon tersebut.

Tahanan reman

Sebelum itu, beliau berkata polis menahan seorang wanita di tempat letak kereta pangsapuri itu pada jam 1.50 pagi dan menjumpai dua tiub berisi kristal syabu seberat 0.6 gram.

"Susulan daripada penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di pangsapuri itu dan berjaya menahan dua wanita, seorang daripadanya pelakon tersebut dan empat lelaki," katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam serbuan itu, polis juga menemui dokumen dan buku nota dipercayai digunakan untuk merekodkan penjualan dadah.

Muhammad Fuad berkata polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Petaling Jaya, Majistret Khainur Aleeza Ismail membenarkan permohonan supaya ketujuh-tujuh mereka ditahan selama empat hari bermula hari ini.