Malaysiakini
BERITA

Rosmah guna jet peribadi kerana jadual ketat

Zulaikha Zulklifi

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Jun 2016, 11:45 tengahari

Pegawai Khas isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor menjelaskan Datin Seri Rosmah Mansor terpaksa menggunakan pesawat peribadi untuk menghadiri sebuah majlis di Istanbul, Turki pada 27 Mei lalu kerana beliau terpaksa jadualnya yang ketat.

Ini kerana, menurutnya, Rosmah perlu menghadiri Mesyuarat Agong Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

“Isteri Perdana Menteri menempuh perjalanan hampir 13 jam ke Istanbul hanya untuk menerima anugerah dan menyampaikan ucapan. Beliau (kemudiannya) bergegas pulang selepas majlis tersebut.

“Mana mungkin Rosmah dapat menghadiri semua acara-acara penting sekiranya mengikuti jadual penerbangan pesawat komersil,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Malaysiakini.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dalam pendedahan terbarunya hari ini mempersoalkan tindakan isteri perdana menteri menggunakan jet peribadi untuk menerima ‘Anugerah Kebajikan Kanak-kanak 3G’ bagi pihak PERMATA.

Menurut Rizal, pendedahan itu bersifat jahat kerana Rafizi cuba memesongkan pandangan rakyat bahawa isteri perdana menteri sedang melakukan suatu pembaziran.

“Tuduhan ini jelas merupakan suatu fitnah apabila mengatakan lawatan ini bersifat bermewah-mewah,” katanya.

Rizal juga menjelaskan bahawa pesawat peribadi itu bukannya disewa khas untuk kegunaan Rosmah semata-mata.

“Pesawat ACJ319 No Pendaftaran A6-CJE adalah pesawat gantian yang disewa oleh kerajaan Malaysia bagi kegunaan kenamaan-kenamaan negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Permaisuri Agong dan kenamaan lain,” katanya.

Menurutnya, kerajaan menyewa pesawat itu selama dua bulan sebagai gantian kepada pesawat ACJ320 yang kini dalam tempoh penyelengaraan.

“Pesawat tersebut adalah pesawat gantian kerajaan maka atas sebab itu penerbangan ini menggunakan Pangkalan Udara Subang.

“Rosmah adalah isteri perdana menteri Malaysia dan kedudukan beliau dari segi protokol adalah layak,” katanya.

Rizal kemudianmya menyindir Rafizi dengan berkata tidak perlu bagi lepasan MCKK untuk bertanya soalan sedemikian.

“Satu sahaja soalan saya untuk YB Rafizi pula, siapakah penternak ikan yang dimaksudkan oleh Latifah Koya,” katanya mengakhiri kenyataan medianya itu.

 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.