Kerajaan komited meneruskan langkah pengurangan defisit fiskal negara kepada 3.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2016 walaupun pertumbuhan ekonomi dunia dijangka menguncup.

Di dalam satu kenyataan, Menteri Kewangan 11, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan akan terus mengoptimumkan perbelanjaan dan menyusun semula projek pembangunan mengikut keutamaan.

Menurutnya, kementerian dan agensi telah diminta menyusun semula program dan projek mengikut keutamaan dan menguruskan pengambilan penjawat awam secara lebih berhemat di mana tiada unit atau institusi baru diwujudkan.

"Kerajaan juga tidak akan membenarkan pelantikan perunding luar kecuali bagi projek berteknologi tinggi yang memerlukan kepakaran khusus, di samping pematuhan kepada garis panduan langkah mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.

"Selain itu, kerajaan telah menghadkan lawatan rasmi dan bilangan pegawai ke luar negara, memberi keutamaan penganjuran majlis di premis kerajaan dan mengurangkan kos pentadbiran seperti percetakan dan pembekalan," katanya.

Ahmad Husni berkata, kerajaan akan terus melaksanakan projek pembangunan berimpak tinggi seperti MRT, LRT dan Lebuh Raya Pan Borneo yang mempunyai kesan pengganda yang besar kepada ekonomi.

Projek yang memberi manfaat kepada rakyat akan diteruskan, di samping memantau secara rapi perkembangan ekonomi domestik dan melaksanakan inisiatif bagi merancakkan sektor eksport, industri pelancongan serta meningkatkan pelaburan dan penggunaan swasta.

Menurut beliau, kerajaan juga berhasrat mengurangkan halangan bukan tarif di kalangan negara ASEAN dan meningkatkan akses pasaran secara agresif seperti di India, Timur Tengah dan Eropah Timur.

"Kita juga akan meluaskan peluang pasaran dalam 'Pengimbangan semula China' termasuk industri halal, kewangan Islam, perkhidmatan kesihatan, pelancongan dan produk pertanian.

"Selain itu memperluas kemudahan e-visa ke negara lain seperti Russia dan India serta mempromosi produk pelancongan khusus seperti pelancongan eko, pelancongan kesihatan dan tempat bersejarah," katanya.

Ahmad Husni berkata, kerajaan akan menggalakkan pelaburan dari luar negara melalui kerjasama di antara MIDA, MITI, Invest KL dan pejabat kedutaan di luar negara dan menggalakkan penggunaan swasta melalui peningkatan pendapatan boleh guna.

"Dengan pelbagai langkah itu, kerajaan yakin unjuran pertumbuhan ekonomi domestik antara 4.0 hingga 4.5 peratus boleh dicapai tahun ini," katanya.

- Bernama