Paling Popular
Terkini

Keputusan untuk meminimumkan poster calon bersaiz besar pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar sudah dibincangkan di peringkat kepimpinan BN.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata keputusan tersebut diambil bagi mengurangkan pembaziran lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.

“Kita kena tahulah ini bulan untuk kita beribadat dan berpuasa, kita juga tahu kapasiti serta latar belakang calon kita dan kita pun tahu dalam suasana hari ini kita tidaklah boleh membazir.

“Ekonomi kita dalam keadaan yang terkawal tetapi membazir dalam bulan Ramadan tak patut, jadi kita buat apa yang patut sahaja,” kata Razali yang juga anggota parlimen Muar kepada pemberita.

Razali yang juga anggota majlis tertinggi Umno berkata demikian ketika diminta mengulas ketiadaan poster calon bersaiz besar dan poster Perdana Menteri Datuk seri Najib Razak dalam PRK Kuala Kangsar.

Tinjauan Malaysiakini sendiri mendapati tidak banyak poster atau bendera pilihan raya bersaiz gergasi yang dipasang di sekitar kawasan parlimen berkenaan seperti kebiasaan pilihan raya kecil lain.

Bahkan ada poster calon bertanding hanya dapat dilihat di beberapa tempat, manakala saiznya pula ada yang cuma sebesar saiz A3.

Terdahulu Razali mengadakan tinjauan ke Bilik Gerakan BN di Kuala Kangsar.

Pilihan raya kecil parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini diadakan berikutan nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, bulan lalu yang mengakibatkan penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terbunuh.

SPR menetapkan 18 Jun depan sebagai hari pengundian dan tarikh pengundian awal pada 14 Jun.

Lihat Komen
ADS