Sama seperti Budiman Mohd Zuhdi, calon BN di Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid turut mengelak ketika diajukan soalan mengenai isu Rang Undang-Undang 'hudud' oleh pemberita.

Sebaliknya, Mastura menegaskan beliau lebih suka memberikan tumpuan untuk kepentingan rakyat di parlimen tersebut dan hanya akan memikirkan mengenai RUU itu selepas pilihan raya kecil berkenaan.

"Ketika ini saya amat menitik beratkan perkara yang melibatkan orang Kuala Kangsar dan pembangunan Kuala Kangsar.

"Jadi bagilah peluang kepada saya untuk memikirkan dan menjalankan agenda untuk orang Kuala Kangsar dan biarlah Isu hudud itu saya fikirkan setelah selesai PRK ini," tegas Mastura dalam sidang media di kediamannya di Bukit Chandan, Kuala Kangsar hari ini.

Budiman, yang merupakan calon BN di Sungai Besar sebelum ini dilapor turut mengelak ketika ditanya soalan mengenai usul RUU persendirian yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Budiman yang juga ADUN Sungai Panjang pada mulanya cuba memesongkan soalan wartawan dengan berkata ia seharusnya ditujukan kepada PAS.

Namun apabila diasak, beliau menjawab: “Biar saya menang dulu.”

Hadi membentangkan usul RUU itu bagi meminda Akta Mahkamah Syariah dua minggu lalu, tetapi kemudian memohon penangguhan supaya perbahasan diadakan pada sesi parlimen akan datang.

Ini bermakna mana-mana calon yang menang di Sungai Besar dan di Kuala Kangsar pada 18 Jun ini akan berpeluang mengambil bahagian dalam perbahasan dan kemungkinan mengundi pindaan itu.

Sementara itu, MCA selaku komponen BN yang turut membantu kempen Mastura dan Budiman menegaskan pendiriannya untuk menentang RUU itu yang dididakwa akan membuka ruang kepada pelaksanaan hudud.

Pilihan raya kecil parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan berikutan nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, bulan lalu yang mengakibatkan penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon serta lima yang lain terbunuh.

SPR menetapkan 18 Jun depan sebagai hari pengundian dan tarikh pengundian awal pada 14 Jun. Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, AMANAH dan Bebas. Manakala Sungai Besar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan AMANAH.