Pemuda PAS sokong tambah sekolah aliran Cina
Dewan Pemuda PAS Pusat meminta kerajaan membenarkan penubuhan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) sebagai memenuhi keperluan pendidikan mereka.
Dewan Pemuda PAS Pusat meminta kerajaan membenarkan penubuhan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) sebagai memenuhi keperluan pendidikan mereka.
Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, hak setiap kaum untuk belajar dalam bahasa dan budaya mereka adalah dijamin dalam Islam dan Pemuda PAS menyokong sebarang usaha untuk mengekalkan ciri-ciri warisan ini.
Beliau berkata, Pemuda PAS, sejak sekian lama, mendesak kerajaan supaya membenarkan demokrasi diwujudkan dalam pendidikan selagi tidak bercanggah dengan Dasar Pendidikan Negara dan tidak mengancam keselamatan negara.
"Hak untuk memilih sistem pendidikan adalah hak asasi setiap individu. Mereka tidak boleh dipaksa untuk mengikuti mana-mana sistem pendidikan yang mereka tidak suka, sebaliknya hendaklah diberi kebebasan memilih yang selari dengan mereka.
"Dalam konteks Malaysia, sebagai sebuah negara bermasyarakat majmuk dan telah mengamalkan sistem pendidikan mengikut kaum sejak sekian lama, semua pihak harus menghormati hak dan perasaan kaum lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seperti juga masyarakat Cina dan India, orang Melayu sendiri mempunyai sistem pendidikan sendiri yang berasaskan Islam, selain sistem kebangsaan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa, pada 2002, kerajaan bertindak menzalimi orang Melayu apabila menyekat bantuan perkapita tahunan Sekolah Agama Rakyat (SAR) .
Percakaran
"Nasib yang sama dialami oleh SRJK apabila para pelajar dipaksa belajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris sehingga identiti sekolah jenis kebangsaan," tambahnya.
Hari ini, kata Salahuddin, apabila masyarakat Cina memohon bilangan SRJKC ditambah, para pemimpin Barisan Nasional (BN) memandangnya secara negatif.
Beliau berkata, Pemuda PAS memandang serius percakaran di antara pemimpin Barisan Nasional (BN) berikutan desakan MCA supaya SRJKC ditambah dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.
Permintaan ini, katanya, mendapat tentangan hebat dari pemimpin Umno yang melihatnya sebagai mundur ke belakang dalam pengertian perpaduan nasional.
"Sokongan Pemuda PAS pusat ini bukan bermakna kami menyokong pembukaan SRJKC secara berleluasa atau sebebas-bebasnya kerana kerajaaan BN patut mempertimbangkan pembinaannya berdasarkan jumlah penduduknya.
"Jika bilangan mereka telah berada dalam jumlah yang wajar, maka tidak ada sebab mengapa SRJKC tidak boleh dibina, begitu juga dengan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) dan SAR," katanya.
Beliau berkata, jika kerajaan tidak mempunyai wang, ia boleh ditangguhkan dan bukannya ditolak dengan alasan yang tidak masuk akal.
Sekolah wawasan
Pemuda PAS pusat, katanya, mendesak supaya tuntutan penambahan SRJKC ini dipertimbangkan dan geran perkapita SAR dikembalikan untuk mewujudkan demokrasi dalam pendidikan.
Menurutnya, isu SRJKC ini berbangkit kerana terdapat pemimpin MCA yang tidak berpuashati dengan kegagalan kerajaan BN membina Sekolah Wawasan dengan berkesan.
Katanya, lima tahun dahulu, kerajaan memaksa semua pihak menerima Sekolah Wawasan tetapi setelah rakyat menerima sekolah itu, kerajaan gagal menyediakan sekolah tersebut secukupnya.
Bagi Pemuda PAS pusat, katanya, isu SRJKC ini sebenarnya sengaja dibangkitkan oleh pemimpin MCA menjelang pemilihan parti tersebut pertengahan tahun ini.
Salahuddin berkata, mereka cuba mengambil kesempatan untuk menarik sokongan masyarakat Cina terhadap kumpulan masing-masing.
"Mereka membangkitkan isu-isu sensitif ini dengan harapan masyarakat Cina lebih percayakan mereka," katanya.

