Seramai 50 pembeli rumah pangsa kos rendah di Taman Danau Kota, Setapak Kuala Lumpur membantah tindakan pemaju projek tersebut untuk menaikkan harganya sebanyak RM8,000 seunit dengan alasan kenaikan harga barang pembinaan.

Berikutan itu, mereka telah membuat aduan kepada Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Batu yang diwujudkan oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua.

Penyelaras pusat tersebut, Gan Pei Nei berkata, peruntukan untuk membina rumah pangsa tersebut disalurkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) di bawah program pembasmian setinggan di Lembah Kelang.

Rumah pangsa kos rendah tiga bilik tidur setinggi 19 tingkat itu mengandungi 1,000 unit, yang sebahagian besar diperuntukkan kepada setinggan di kawasan Setapak.

Katanya, berikutan ada setinggan yang menolak tawaran tersebut, maka hampir 100 unit dijual kepada orang awam, termasuk 50 pembeli berkenaan, pada harga awal RM25,000 seunit.

Bagaimanapun, kata beliau, pihak pemaju kemudiannya mahu menaikkan harganya kepada RM33,000 bagi pembeli bukan setinggan. Harga bagi pembeli setinggan kekal pada RM25,000.

Katanya, projek tersebut dimajukkan oleh syarikat FBO Sdn Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai Danau Kota Development Sdn Bhd.

Pembeli dakwa tertipu

"Ramai pembeli membantah harga baru itu dan mendakwa mereka ditipu oleh syarikat pemaju tersebut. Manakala ada sesetengah pembeli lagi yang belum mengetahuinya," tambahnya.

Katanya, mereka telahpun menandatangani perjanjian jual-beli dengan pemaju pada harga RM25,000 dan menjelaskan wang pendahuluan 10 peratus sebanyak RM2,500.

Bagaimanapun, pihak pemaju kemudiannya menghantar surat menyatakan harga rumah tersebut telah dinaikkan kepada RM33,000 bagi pembeli bukan setinggan, dengan alasan kenaikan harga barangan pembinaan di pasaran.

"Pembeli diberitahu, jika mereka tidak mahu membeli dengan harga baru itu, maka rumah tersebut akan dijual kepada pembeli lain," katanya.

Berikutan itu, ramai juga pembeli yang bersetuju dengan harga RM33,000 kerana bimbang tidak dapat membeli rumah tersebut dan takut kehilangan wang pendahuluan yang telah dijelaskan kepada pemaju.

Katanya, beliau sudah dua kali menemui pegawai atasan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memaklumkan perkara itu tetapi diberitahu pihak kementerian perlu menyiasatnya terlebih dahulu.