Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Sabun: Penceramah mohon maaf pada Mat Sabu
Diterbitkan:  Jun 10, 2016 12:43 PM
Dikemaskini: 6:15 AM

Seorang penceramah bebas membuat permohonan maaf terbuka kepada Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu kerana menggelarnya 'Mat Sabun'.

Abdullah Khairi - yang dikenali ramai melalui klip video ceramahnya di Internet - menggelar Mohamad dengan perkataan tersebut semasa hari penamaan calon pilihan raya kecil di Kuala Kangsar, Ahad lalu

Dalam video selama 42 saat itu, Abdullah berkata beliau memohon maaf kepada Mohamad - atau lebih terkenal dengan panggilan - Mat Sabu - ekoran ucapannya yang beremosi semasa hari kejadian.

"Saya ustaz Abdullah Khairi. Di hari yang penuh keberkatan, bulan Ramadan, hari Jumaat ini, saya ingin memohon maaf kepada abang Mat Sabu di atas ucapan saya yang teremosi pada hari penamaan calon di Kuala Kangsar," katanya.

Bagaimanapun mengiringi permohonan maaf itu Abdullah mengingatkan orang lain yang mencemuhnya juga menanggung dosa.

Untuk melepaskan dosa itu Abdullah berkata mereka perlu memohon maaf kepadanya.

"Abang Mat, maafkan saya. Tetapi kepada yang mencemuh saya, mencaci saya, anda juga tidak terlepas dari dosa. Mereka perlu mohon maaf daripada saya," katanya.

Pada hari penamaan calon ahad lalu, Abdullah yang berucap di atas pentas PAS menggelar Mohamad sebagai 'Mat Sabun' yang mana ia turut mengundang ketawa orang ramai.

Video ucapan Abdullah itu kemudian menjadi viral di sosial media.

"Saya yakin tuan-tuan yang ada di sini, bukan sahaja daripada Kuala Kangsar tetapi daripada seluruh Malaysia datang semata-mata nak bagi sokongan. Dan sokongan padu ini, kita bagi kemenangan kepada Dr Najihatussalehah.

"Walaupun disebelah sana 'Mat Sabun', 'Mat Sabun' sebelah sana, tapi suara aku lebih kurang sama. Dan insha-Allah Mat Sabu akan lahir, ustaz Abdullah Khairi. Yang Sabun tu biar habis dah," katanya.

Mohamad adalah bekas 'ayam sabung' PAS suatu ketika dulu dan pernah terpilih sebagai timbalan presiden parti berkenaan.

Bagaimanapun beliau diketepikan perwakilan dalam pemilihan parti pada 2015 bersama pemimpin dan penyokong kumpulan sederhana.

Mohamad dan rakan-rakannya kemudian menubuhkan AMANAH.

Lihat Komen
ADS