Kempen Pakatan Harapan yang berunsur tohmahan dan provokatif di pekan Sekinchan menunjukkan mereka cuba meningkatkan sentimen kaum Cina dan mengalihkan keyakinan masyarakat Tionghua daripada mengundi BN.
Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata tindakan sedemikian jelas memperlihatkan sikap politik yang tidak matang dan ditonjolkan menerusi permainan politik kotor yang amat berbahaya.
"DAP memang sentiasa menggunakan sentimen dalam perjuangan politik mereka di samping kononnya lepas geram. Sebenarnya mereka (DAP) nak meningkatkan sentimen Cina selain sasarannya masyarakat Tionghua daripada mengundi BN.
"Kalau tidak dikawal, ia akan membawa keburukan kepada negara dan saya percaya Perdana Menteri sendiri tidak akan mengizinkan berlaku perkara seperti itu kerana kita ada tanggungjawab menjadikan negara ini sentiasa berada dalam keadaan aman selamanya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program ziarah sahabat Felda di bilik gerakan pusat daerah mengundi (PDM) Sungai Leman di Kampung Darat Parit 8, Sungai Besar.
Turut hadir Pengerusi BN Selangor selaku Pengarah PRK Parlimen Sungai Besar Tan Sri Noh Omar dan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos.
Sebuah portal berita melaporkan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua semalam mengaku pihaknya bertanggungjawab menaikkan papan iklan berunsur tohmahan dan provokatif di sekitar pekan Sekinchan sebelum diturunkan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mohd Isa dalam ucapannya menyeru pengundi di Sungai Besar agar memilih calon BN, Budiman Mohd Zohdi yang mempunyai kredibiliti dan kepimpinan yang baik serta tidak terpengaruh dengan tohmahan dan fitnah yang dilemparkan pembangkang terhadap kerajaan bagi memancing undi pada PRK Parlimen itu.
"Tugas pembangkang sememangnya cuba memecahbelahkan undi dengan membangkitkan pelbagai isu dengan harapan menimbulkan kebencian terhadap kerajaan," katanya.
Pada pilihan raya kecil itu, Budiman bakal ditentang calon PAS, ADUN Meru Dr Abdul Rani Osman manakala AMANAH mempertaruhkan Pengerusi Amanah Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur.
PRK berkenaan yang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal pada 14 Jun manakala hari pengundian, 18 Jun ini.
-Bernama
