Deklarasi Rakyat: Azharuddin nafi buat pusingan U
Pengaturcara komputer bebas, Azharuddin Othman hari ini menafikan bahawa beliau membuat pusingan U seperti didakwa dalam akuan bersumpah (SD) yang tersebar di media sosial.
"Saya terkejut (dengan SD palsu), apa yang saya fikir, kenapa jadi macam ni? Saya bukan mahu jadi perhatian.
"Mengenai kata saya U-turn, hari ini saya tampil untuk menafikannya," kata Azharuddin di sidang media di sebuah restoran di Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu dalam SD pertamanya berkenaan Deklarasi Rakyat, Azharuddin mendakwa beliau dimaklumkan nama-nama dalam pangkalan data yang dikendalikannya akan digunakan memorandum berkenaan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, "urus niaga" itu dijalankan secara atas talian dengan seorang wanita dikenali sebagai Ratu Naga.
Namun dalam SD yang tersebar di media sosial semalam - mendakwa Azharuddin membuat pusingan U dan tidak mengenali Ratu Naga - dikatakan palsu.
Dalam SD itu juga Azharuddin kononnya mengaku tidak pernah menjalankan apa-apa urusan dengan Ratu Naga.
Dalam teks itu juga menyebut Badrul Hisham Shaharin - lebih dikenali dengan panggilan Chegubard - mengupahnya untuk mengadakan sidang media dan membacakan teks dari SD pertama dulu.
Dalam sidang media itu Azharuddin mendakwa hanya 300,000 tanda tangan asli terkandung dalam Deklarasi Rakyat, manakala 900,000 lagi adalah tanda tangan palsu.
Namun Azharuddin mendakwa beliau ditipu dalam penjualan ratusan ribu nama untuk menipu tandatangan dalam projek memorandum Deklarasi Rakyat.
Semasa sidang media hari ini orang ramai dikejutkan dengan kemunculan Ratu Naga yang mencabar Azharuddin membuat sumpah laknat bagi menegaskan segala dakwaan pengatur cara komputer itu adalah benar.
Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abdul Samah - kini mengandung enam bulan - sempat mengajukan beberapa soalan kepada Azharuddin.
Bagaimanapun, pengatur cara komputer bebas itu hanya berdiam diri sebaliknya soalan yang dilontarkan dijawab oleh Badrul Hisham.
Antara soalan yang diajukan Ratu Naga ialah, sama ada Azharuddin mengenali dirinya.
Soalan itu juga langsung tidak dijawab.

Pada sidang itu, Badrul Hisham yang juga pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata beliau yakin bahawa SD yang tersebar semalam adalah palsu.
"Saya sangat sedih isu ini diambil oleh Malaysiakini selepas saya membuat penafian. Penyokong (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) macam ISIS, mereka selongkar akaun Facebook orang lain dan sebarkan gambar keluarga Azharuddin.
"Ia turut menyebabkan keluarga Azharuddin berasa malu," katanya.
Kata Badrul Hisham, imej SD yang tertera cop pesuruhjaya sumpah bersama nama Azharuddin disebarkan untuk menunjukkan kononnya pengaturcara komputer itu membuat SD baru.

