Sama dengan rakan sejawatannya daripada MCA, presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam juga menuduh DAP mengelirukan pengundi Cina.

Beliau berkata, ini kerana DAP bersekutu dengan Parti Amanah Negara (AMANAH), yang beliau sifatkan sebagai "gen yang sedikit bermutasi PAS".

"Adakah Cina diperdaya lagi? Sehingga kini, tidak ada sebarang bantahan daripada AMANAH mengenai hudud. PAS juga mula menunjukkan diri sebenar.

"Penolakan terhadap PAS adalah penolakan hudud," katanya dalam satu kenyataan media berkaitan pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar 18 Jun ini.

Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, berkata MIC akan terus menentang hudud dan mengulangi rancangannya untuk meletakkan jawatan daripada kabinet sekiranya rang undang-undang diluluskan.

"Saya masih percaya kewarasan tindakan akan terserlah dan kita boleh mengelakkan negara ini daripada berada di landasan yang berbahaya ini.

"Kami akan menggunakan semangat kesepakatan dalam BN untuk memastikan semangat yang termaktub dalam perlembagaan dihormati dan dipertahankan," katanya.

Pemimpin MIC itu berkata, walaupun PAS mempunyai niat yang jelas mengenai hudud, parti serpihannya AMANAH masih belum menyuarakan bantahan terhadap undang- undang jenayah Islam itu.

"Kedua-dua pihak telah mencadangkan polisi-polisi agama ekstremis yang tidak konsisten dengan berbilang kaum di Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua calon BN bagi pilihan raya kecil berkembar itu juga mengelak menjawab mengenai isu hudud.

Semalam, calon BN Kuala Kangsar Mastura Mohd Yazid berkata beliau lebih suka memberi tumpuan kepada keperluan penduduk apabila ditanya mengenai pandangan beliau mengenai hudud.

Begitu juga calon Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi yang berkata kepada pemberita "biarlah saya menang dahulu" apabila ditanya soalan yang sama.

Sementara itu, AMANAH berkata parti itu tidak menentang hudud, tetapi berkata ia tidak seharusnya menjadi keutamaan di bawah undang-undang syariah.

Terdahulu, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mengingatkan pengundi Cina tidak membenarkan DAP menipu mereka lagi, dengan menekankan PAS dan AMANAH berkongsi DNA yang sama.