MB: Pusat hiburan keluarga di Perlis untuk bukan Islam saja sepanjang Ramadan
Pusat hiburan keluarga di Perlis dibenarkan beroperasi seperti biasa sepanjang Ramadan ini sebagai kelonggaran khusus bagi yang bukan beragama Islam, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.
Azlan berkata tiada arahan penutupan dikeluarkan kepada pusat hiburan keluarga termasuk pusat karaoke dan snuker, mengambil kira aspek pendapatan melalui perniagaan bagi pemilik premis.
"Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang bertanggungjawab terhadap operasi pusat hiburan keluarga dan ketika ini kita pantau untuk kegunaan mereka yang bukan islam sahaja," katanya.
Azlan berkata demikian ketika ditanya selepas menyampaikan sumbangan Ramadan 2016 kepada 1,460 penerima yang layak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer di Masjid As-Sobirin, Gial di Kangar hari ini.
Menurut Azlan, walaupun Perlis tidak mempunyai pusat hiburan seperti kelabmalam atau disko, mereka yang beragama Islam harus menghormati bulan mulia ini serta tidak pergi ke tempat-tempat yang tidak sepatutnya.
"Kalau kita tahu tempat tersebut tidak mendatangkan faedah malah terdapat kegiatan berunsur maksiat atau melekakan maka usahlah pergi," katanya yang menyeru masyarakat di Perlis agar sentiasa mendidik diri dengan nilai moral dan sahsiah tinggi lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan.
- Bernama

