'Parti yang dapat satukan semua kaum akan menang 2 PRK'
Parti yang dapat menyatukan semua kaum akan memenangi dua pilihan raya kecil akan datang, bukan parti yang cuba memecahbelahkan kaum atau memainkan isu perkauman, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Menurut beliau, faktor itu perlu diberi pertimbangan para jurukempen parti yang bertanding dalam pilihan raya berkenaan sekiranya mereka ingin melihat parti mereka memperoleh kemenangan.
"Dua kawasan pilihan raya itu (Kuala Kangsar dan Sungai Besar) mempunyai lebih kurang dua pertiga (pengundi) Melayu dan satu pertiga bukan Melayu, terutama Cina.
"Jadi, tiada satu pun kumpulan etnik yang boleh menang dengan mudah. Perpaduan kaum diperlukan untuk menjamin kemenangan dalam pilihan raya kecil ini, lebih-lebih lagi ia bukan merupakan pertadningan satu lawan satu dan semua calon pula adalah Melayu," kata Salleh dalam laman blognya, sskeruak.blogspot.com, hari ini.
Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan berikutan penyandangnya Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar) dan Tan Sri Noriah Kasnon, yang juga timbalan menteri perusahaan perladangan dan komoditi (Sungai Besar) terkorban dalam nahas helikopeter di Sebuyau, Sarawak pada 6 Mei.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Jun sebagai hari mengundi bagi kedua-dua kerusi itu.
Salleh berkata untuk mana-mana pilihan raya, adalah lumrah bagi parti yang bertanding menghadapi perasaan tidak puas hati mengenai pemilihan calon.
"Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) sentiasa mampu mencari penyelesaian sekiranya timbul perkara seperti itu dan saya yakin, apabila keadaan menjadi genting, BN akan bersatu tenaga bagi menjamin kemenangan parti itu," katanya.
Menurut beliau, dua pilihan raya kecil itu sangat penting kerana ia bukan pilihan raya kecil biasa, tetapi medan ujian untuk melihat sama ada pakatan harapan memiliki sesuatu yang boleh memberi kesan pada pilihan raya umum akan datang.
"Sekiranya mereka memenangi kedua-dua pilihan raya kecil ini, atau satu daripadanya pun, ia akan memberi perangsang kepada pembangkang untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Jika sebaliknya, mereka akan dilanda kekecewaan yang mengambil masa lama untuk pulih," kata beliau.
- Bernama

