Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Rakyat perlu negara stabil dan dasar sederhana

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata rakyat hari ini memerlukan sebuah negara yang stabil dan dasar yang sederhana.

Bagi mencapai visi itu, katanya Malaysia perlu bergantung harap kepada BN.

“Kita perlu sebuah negara yang stabil. Kita perlu sebuah negara yang dasarnya sederhana. Dan kita perlu sebuah kerajaan yang mempunyai visi dan perancangan yang luas untuk membawa negara Malaysia menjadi sebuah negara ekonomi maju dalam waktu terdekat.

“Tetapi ini semua bergantung kepada kekuatan BN, kekuatan masyarakat kaum Cina. Kekuatan kaum Cina mestilah melalui parti-parti komponen MCA dan Gerakan.

“Kalau MCA, kuat Gerakan kuat, masyarakat kaum Cina ada suara yang lebih kuat dalam kerajaan,” katanya pada majlis perjumpaan dengan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sekolah Menengah Cina Persendirian Tsung Wah, Kuala Kangsar, Perak.

Oleh itu, Najib menasihatkan kaum Cina supaya jangan sekali-kali tertipu.

“Orang Cina di Sarawak sudah banyak kali ditipu tetapi pada pilihan raya negeri baru-baru ini mereka telah bangkit.

“Banyak kerusi telah dimenangi SUPP dan BN di Sarawak kerana mereka sedar DAP tidak boleh menentukan masa depan mereka tetapi BN boleh,” katanya.

BN berjaya mengekalkan pemerintahan di Sarawak selepas menang besar pada pilihan raya Mei lalu dengan meraih 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Ia sekaligus melakukan tsunami ke atas pembangkang yang melakukan kejutan dengan memenangi sebahagian besar kerusi bandar pada pilihann raya 2011.

Pada lawatannya itu, perdana menteri turut menyatakan persetujuan kerajaan dalam memberi sumbangan bagi pembinaan bangunan pentadbiran baru sekolah di Jalan Sultan Iskandar, Kuala Kangsar, Perak itu.

Katanya, jumlah sumbangan akan dibincang kemudian antara pihak sekolah dengan Pengerusi Perhubungan MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.

“Saya diberitahu bahawa pihak sekolah Tsung Wah berhasrat untuk membina bangunan pentadbiran jadi kerajaan pusat akan beri sumbangan untuk membinanya.

“Jumlah sumbangan tersebut saya minta exco kerajaan negeri berunding dengan pihak sekolah kemudian berjumpa dengan saya semula selepas ini,” katanya pada majlis perjumpaan dengan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekolah itu.

Sehubungan itu, Najib yang juga adalah pengerusi BN berharap keikhlasan berkenaan akan disambut baik oleh masyarakat Cina.

“Saya harap keikhlasan kerajaan BN ini disambut baik oleh masyarakat kaum Cina khususnya di kawasan parlimen Kuala Kangsar.

“Oleh itu kita harap sokonglah calon kita sebab jika sokong kita ini bukti MCA dan Gerakan menunjukkan kekuatan baru dalam PRK.

“Kita pilih Datin Mastura (Mohd Yazid) sebab Allahyarham Datuk Khair-Il juga tunjuk perstasi baik, beliau sama macam arwah. Dia akan buat terbaik untuk semua kaum tetapi jika kita tengok PAS dan AMANAH lebih kurang, tak boleh harap,” kata Najib sambil tepukan hadirin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS