Terowong: PCM saman Zenith BUCG, k'jaan P Pinang
Parti Cinta Malaysia (PCM) akan memfailkan saman fitnah terhadap Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd dan kerajaan Pulau Pinang berhubung projek terowong dasar laut.
Naib presiden PCM Datuk Huan Cheng Guan berkata beliau mengambil tindakan itu terhadap dua pihak berkenaan kerana menggelarnya sebagai pembohong.
Huan mendakwa, syarikat tersebut dan kerajaan Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan yang mendakwa kononnya beliau memberi maklumat palsu tentang projek terowong dasar laut.
"Pada sidang akhbar mereka dua hari lepas, Zenith BUCG dan kerajaan Pulau Pinang membuat andaian bahawa saya berbohong, walaupun saya memetik sumber yang dikenali termasuk daripada SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) dan kerajaan negeri pimpinan DAP," katanya dalam sidang akhbar di George Town hari ini.
Huan berkata beliau akan meneruskan langkah itu kerana ia melibatkan kepentingan awam dan untuk memelihara reputasi serta integritinya.
Pada hari Rabu, Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, syarikat yang diberi kepercayaan membina terowong itu, berkata ia akan memfailkan saman terhadap Huan kerana menyebarkan tuduhan palsu terhadapnya.
Pengerusinya, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, memberitahu sidang akhbar bahawa tuduhan itu mencemarkan reputasi syarikat berkenaan.
- Bernama

