Teras: Promosi F1 ketepi prinsip Islam Hadhari
Sebuah badan bukan kerajaan, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) kesal dengan keghairahan yang luarbiasa pihak kerajaan untuk berbelanja besar dan mengenepikan segala unsur moral dan nilai murni dalam melonjakkan acara Formula 1 (F1) atas nama pelancongan.
Sebuah badan bukan kerajaan, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) kesal dengan keghairahan yang luarbiasa pihak kerajaan untuk berbelanja besar dan mengenepikan segala unsur moral dan nilai murni dalam melonjakkan acara Formula 1 (F1) atas nama pelancongan.
Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, acara yang tersenarai melibatkan selebriti luar negara untuk menarik perhatian dunia kepada Malaysia.
"Dari '
Gala Dinner
' yang dihadiri bintang-bintang Hollywood dari siri semi-lucah seperti Baywatch, iaitu Carmen Elektra (
gambar
), sehinggalah artis kumpulan rock Barat seperti Backstreet Boys, Black Eyed Peas dan Boyz 11 Men," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, tidak cukup dengan perbelanjaan besar yang disokong oleh Kementerian Pelancongan, acara berpesta itu diikuti pula dengan konsert 'Forces of Nature' atas nama membantu mangsa bencana alam.
"Acara konsert atas nama kebajikan itu sudah tentu tidak akan mengambilkira nilai-nilai akhlak Islam Hadhari yang digahkan oleh kerajaan apabila menghadirkan kumpulan artis Barat dan juga tempatan.
"Promosi yang luarbiasa ini, termasuk satu lagi konsert percuma anjuran Astro, bagi Teras, telah mengenepikan segala pertimbangan akhlak dan jauh tersasar dari tuntutan Islam," katanya.
Imej negara Islam
Teras juga mempersoalkan apakah acara-acara seperti ini yang menelan belanja dari wang orang awam, dan melibatkan acara yang tidak Islamik, secocok dengan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Teras turut mempersoalkan apakah agenda Islam liberal yang terkandung dalam Islam Hadhari yang menjadi dasar negara ini yang akan ditonjolkan kepada umat Islam seluruh dunia.
"Teras membantah pendekatan kerajaan yang jelas tidak serius dalam mempertahankan sebuah negara Islam," kata Mohd Azmi lagi.
Menurutnya, menjaja negara melalui program pesta dan acara seperti F1, walau betapa hebat sekalipun, tidak sama sekali dapat dipertahankan jika diukur dari mana-mana nas syarak.
"Malah model yang dipilih kerajaan untuk mempopularkan negara, benar-benar berkiblatkan Barat dan tidak sama sekali mempunyai apa-apa pertimbangan sama ada ia secocok dengan Islam atau tidak," tegasnya.

