Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Christopher J LaFleur enggan mengesahkan sama ada negaranya menghadapi kesukaran untuk mewawancara agen nuklear pasar gelap yang sedang ditahan di Malaysia.

Walaupun memuji penangkapan BSA Tahir - yang didakwa menjadi operator utama rangkaian nuklear haram saintis Pakistan Abdul Qadeer Khan duta Amerika itu bagaimanapun berkata adalah sukar baginya untuk mengulas isu-isu yang membabitkan "penguatkuasaan undang-undang dan soal keselamatan".

"Kami rasa ianya adalah sesuatu yang amat baik bagi kerajaan Malaysia menahan Tahir," kata LaFleur dalam wawancara selama sejam dengan malaysiakini di kedutaannya minggu lalu.

"Dia jelas turut sama dalam rangkaian tersebut yang menyediakan bahan untuk menghasilkan senjata nuklear kepada orang lain, jadi kami menghargai apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia. Itu sahaja yang dapat saya katakan mengenainya."

Abdul Qadeer Khan yang pada satu ketika dahulu disanjung sebagai hero kerana menjadikan Pakistan sebuah kuasa nuklear telah mengaku menjual rahsia penghasilan nuklear kepada Libya dan Korea Utara. Tahir, 44, telah disifatkan sebagai pembantu Abdul Qadeer selepas bertugas sebagai ketua kewangan rangkaian sulit tersebut.

Laporan mengenai Kamaluddin

Mengikut satu laporan rasmi yang dikemukakan kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa pada bulan Februari tahun lalu, Tahir mengaku kepada polis bahawa dia menjadi orang tengah Abdul Qadeer dan turut memberi maklumat terperinci mengenai skandal tersebut.

Bagaimanapun, siasatan polis telah membersihkan nama rakan perniagaan Tahir Kamaluddin Abdullah anak lelaki tunggal Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, daripada sebarang pembabitan dalam skandal tersebut.

Menurut syarikat minyak dan gas milik Kamaluddin Scomi Precision Engineering (Scope) pihaknya telah dikelirukan untuk mengasilkan komponen utama untuk program nuklear Libya, yang dikatakan dipesan oleh Tahir bagi pihak Abdul Qadeer.

Sementara itu, LaFleur berkata walaupun beliau tidak pernah melihat laporan polis mengenai perkara itu, beliau "amat menghormati pihak penguatkuasa undang-undang Malaysia".

Tahir, seorang rakyat Sri Lanka yang berkahwin dengan warganegara Malaysia, telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan penahanan tanpa bicara sejak tahun lalu.

LaFleur juga enggan mengulas mengenai hasil terkini siasatan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) ke atas Yazid Sufaat yang didakwa menjadi anggota Jemaah Islamiah Malaysia.

Seperti Tahir, Yazid 38 tahun dan seorang ahli kimia yang menerima pendidikan di Amerika juga ditahan di bawah ISA di Pusat Tahanan Kemunting di Taiping.

Washington mahu Yazid diekstradisi ke Amerika kerana dia didakwa membantu Zacarias Moussaoui rakyat Perancis kelahiran Maghribi yang didakwa bersubahat dalam peristiwa serangan 11 September dan menghadapi hukuman mati.

Malaysia bagaimanapun menolak permintaan itu tetapi sebaliknya menawarkan FBI untuk mewawancara Yazid.

Bukan penghinaan

LaFleur turut menjelaskan bahawa bekas presiden Bill Clinton dan George Bush Sr tidak "menghina" Malaysia apabila mereka tidak datang Malaysia ketika mengadakan lawatan ke negara-negara yang dilanda bencana tsunami baru-baru ini.

Bulan lalu, dua bekas presiden Amerika itu mengadakan lawatan untuk mengutip derma bagi membantu empat negara yang teruk dilanda tsunami Thailand, Indonesia, Sri Lanka dan Maldives.

"Penilaian keseluruhan kami mendapati Malaysia mampu menangani sendiri masalahnya, malahan, ia turut membantu negara-negara lain juga. Apa yang kita telahpun lakukan dan apa yang dilakukan oleh kedua-dua bekas presiden itu, fokusnya ialah untuk membantu negara yang amat memerlukan bantuan dari luar.

"Jadi, tidak timbul sebarang persoalan, ini tidak ada kena dengan soal menghina. Anda telah melakukannya dengan baik, dan anda juga turut membantu orang lain."

Duta Amerika itu juga menyentuh mengenai perkara-perkara lain seperti kemungkinan pembabitan Malaysia untuk membangun semula Iraq.

Mengenai dirinya, LaFleur, yang dilantik menjadi Duta Amerika ke Malaysia tiga bulan lalu, menceritakan bagaimana beliau bertemu dengan isterinya, Keiko anak kepada bekas Perdana Menteri Jepun, Kiichi Miyazawa.

"Dia adalah seorang ahli perniagaan...kami bertemu secara kebetulan di sebuah parti dan kebetulan pula duduk sebelah menyebelah, dan yang lainnya sudah menjadi sejarah hidup kami," katanya.