Hayat papan tanda dinaikkan DAP memaparkan kenyataan "Cina babi" dibuat Datuk Jamal Md Yunos mungkin singkat, namun ia tetap menjadi perbualan masyarakat Melayu di Sungai Besar sehingga kini.

Tidak ramai yang sempat melihat papan tanda itu wujud kerana ia diturunkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lama selepas ia didirikan.

Namun ramai penduduk setempat mengetahuinya daripada perbualan atau laporan mengenainya di televisyen.

Sasaran papan tanda itu ialah pengundi Cina di Sekinchan.

Ketika DAP cuba menarik undi Cina bagi memenangkan calon Parti Amanah Negara (AMANAH), ia sebaliknya mungkin menjauhkan pengundi Melayu yang tidak senang dengan pendekatan kempen begitu.

Beberapa pengundi Melayu ditemui Malaysiakini menyatakan rasa tidak senang mereka dengan pendekatan berkenaan.

Peniaga yang juga penyokong BN, Ismail Yahya, mengutuk papan tanda berkenaan.

"Mereka mahu membuat penyokong BN marah dan mempertikaikan pemimpin atasan kami.

"Ini bukan cara kita orang Melayu, ia agak biadab," kata penduduk Sekinchan itu.

Sulaiman Mat dari Pasir Panjang pula berkata papan tanda itu dianggap tidak wajar disebabkan kini adalah bulan puasa.

"Semasa Ramadan tak elok ceritakan keburukan orang lain, buat tuduhan macam-macam.

"Orang nak lihat apa yang calon bertanding boleh lakukan untuk rakyat, bukan nak cari alasan bergaduh," katanya.

Diturunkan polis

Bagaimanapun Ismail dan Sulaiman tidak sempat melihat papan tanda berkenaan, sebaliknya mengetahui tentang hal itu daripada berita.

Bagi Darmin Mokri - juga mengetahuinya daripada beria - dia tidak pasti apa yang dipaparkan pada papan tanda berkenaan.

"Saya nampak dalam televisyen tapi tak pasti apa yang tertulis pada papan tanda itu," katanya.

Papan tanda dipertikaikan itu dinaikkan pada Rabu lalu sebelum diturunkan polis atas arahan SPR.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sejauh mana strategi itu mampu menarik sokongan pengundi Cina atau akan menjadi senjata memakan tuan kepada pembangkang.

Sebanyak 67 peratus daripada 42,655 pengundi berdaftar di Sungai Besar adalah Melayu, manakala 31 peratus Cina dan 1.8 peratus India. Selebihnya adalah pengundi keturunan lain.

Pada pilihan raya umum 2013 calon BN Datuk Noriah Kasnon memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 399 undi mengalahkan PAS.

PAS yang ketika itu masih menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat memperoleh 38 peratus undi Melayu dan 76 peratus undi Cina.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata mereka menyasarkan 32 peratus undi Melayu dan 68 peratus undi Cina - atau 40 peratus undi keseluruhan - bagi memenangi kerusi berkenaan.

Jika BN dapat mengekalkan sokongan diperolehinya pada pilihan raya lalu, PAS dan AMANAH perlu bergelut untuk merebut 38 peratus undi Melayu.

Dan dalam keadaan semasa peluang untuk AMANAH mendapatkannya adalah malap.

[Baca berita asal]