Jangan terpengaruh dengan Dr M, kata TPM
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak terpengaruh dengan ucapan bekas presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kata timbalan perdana menteri itu ucapan dibuat Dr Mahathir sudah viral di media sosial.
Namun katanya Umno berharap ia tidak akan mempengaruhi orang ramai di dua kawasan berkenaan yang akan mengundi dalam pilihan raya kecil pada 18 Jun ini.
Katanya Dr Mahathir mengambil tindakan "membakar kelambu" kerana kini bekas perdana menteri keempat Malaysia itu sedang berada di "persimpangan politik".
"Beliau (Dr Mahathir) cuba untuk bakar kelambu disebabkan oleh beliau berada pada satu persimpangan politik untuk menguji sejauh mana populariti beliau," katanya di sidang media di Sungai Besar hari ini.
Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun muncul di Selangor pagi tadi untuk membantu kempen calon Pakatan Harapan yang diwakili Parti Amanah Negara (AMANAH).
Beliau dijangka membuat kemunculan di Kuala Kangsar pula pada esok.
Menurut Ahmad Zahid kebanyakan orang - termasu yang bersimpati kepadanya - tidak dapat lagi menerima mesej yang disampaikannya.
Ahmad Zahid juga yakin pengundi atas pagar di kedua-dua kawasan itu akan kembali menyokong BN untuk memastikan kemenangan parti berkenaan.

