Lawatan Rosmah ke Turki atas jemputan Cambridge IF Analytica
Kedutaan Besar Malaysia di Ankara hari ini mengesahkan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor telah mengadakan
lawatan rasmi ke Istanbul, Turki bagi memenuhi jemputan oleh Cambridge IF Analytica sempena malam anugerah 'Global Good Governance (3G) Awards 2016' pada Mei lalu.
Dalam satu kenyataan, Duta Besar Malaysia ke Republik Turki Datuk Amran Mohamed Zin berkata Rosmah yang tiba di Istanbul pada 25 Mei malam terus bergegas pulang ke Malaysia sejurus selesai majlis 3G Awards pada malam 26 Mei lalu.
Beliau berkata majlis berkenaan merupakan anjuran Istanbul sempena 'Global Donors Forum' dan Sidang Kemuncak Kemanusiaan Sedunia.
"Rosmah telah menyampaikan ucaptama pada Majlis 3G Awards tersebut, di samping menerima Anugerah '3G Children Welfare Award' atas kejayaan Program Permata dipilih secara global sebagai pemenang anugerah tersebut.
"Sebagai Penaung Program Permata, Rosmah diundang oleh pihak penganjur untuk menerima anugerah tersebut. Penganugerahan kepada Program Permata merupakan satu pengiktirafan antarabangsa bagi sumbangan kepada pertumbuhan pendidikan/pembelajaran, psikologi, intelek dan fizikal kanak-kanak," katanya.
Sebelum Majlis 3G Awards 2016, Rosmah turut mengadakan pertemuan dengan Anggota Majlis Tertinggi Pendidikan Qatar dan Pengerusi Lembaga Penaung World Congress of Muslim Philanthropists (WCMP) Dr. Sheikha Aisha bint Faleh bin Nasser Al-Thani serta barisan kepimpinan Cambridge IF Analytica.
-Bernama

