PRK K Kangsar: Calon Bebas, Izat sokong Dr M
Calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary tampil di khalayak ramai buat pertama kalinya selepas tujuh hari tempoh berkempen bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar 18 Jun ini.
Malah, Izat Bukhary berdiri sepentas dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam forum 'Selamatkan Malaysia bersama Deklarasi Rakyat' di kawasan dewan undangan negeri Chandan, sebentar tadi.
Bahkan Izat dengan beraninya menyatakan sokongan penuh kepada pemimpin veteran Umno itu dengan menurunkan tanda tangan dalam Deklarasi Rakyat dengan disaksikan Mahathir serta pengundi Parlimen Kuala Kangsar.
"Hari ini saya hadir kerana Allah Taala, saya tak berniat untuk sepentas dengan Tun M tetapi saya mahu nyatakan bahawa saya sokong Tun M dan ini bukti saya," kata Izat sambil menurunkan tandatanganya.
Pilihan raya kecil parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini diadakan berikutan nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, bulan lalu yang mengakibatkan penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terbunuh.
SPR menetapkan 18 Jun depan sebagai hari pengundian dan tarikh pengundian awal pada 14 Jun bagi PRK berkenaan.
Calon AMANAH, Dr Ahmad Termizi akan berdepan dengan calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid yang mempertahankan kerusi mendiang suaminya.
Selain daripada Mastura, Termizi juga menghadapi saingan daripada calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

