Penaung Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) Datin Seri Rosmah Mansor menasihati isteri-isteri anggota keselamatan yang bertugas di Aidilfitri supaya tabah.

Rosmah yang juga isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut berkongsi pengalamannya ketika ditinggalkan suami kerana bertugas ketika Aidilfitri di Bosnia Herzegovina pada tahun 1990.

"Kepada para isteri, Anak-anak serta keluarga yang ditinggalkan untuk berhari raya bersendirian tanpa Suami disisi. Saya dan ahli BAKTI mendoakan semoga puan-puan sekalian sentiasa tabah menghadapi dugaan ini dan banyakkanlah bersabar.

"Secara peribadi saya sendiri merasai pengalaman sendemikian apabila suami saya pada ketika itu berjawatan menteri pertahanan terikat dengan komitmen kerja pada Hari Raya.

"Suami saya mengambil keputusan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di Bosnia Herzegovina pada satu tahun sekitar 1990an dan saya ditinggalkan pada Hari Raya bersama anak-anak," katanya.

Rosmah berkata demikian dalam ucapannya di majlis penyampaian sumbangan bungkusan Hari Raya Aidilfitri Kepada anggota keselamatan negara di bangunan BAKTI Hasmah, Kuala Lumpur.

Rosmah berkata, kesejahteraan dan keamanan negara tidak akan wujud tanpa pengorbanan serta kesanggupan para petugas keselamatan bertugas tanpa mengira waktu termasuk di musim perayaan.

“Mereka sanggup bekerja di perbatasan negara, jauh nun di belantara dan di lautan biru serta terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anak yang tersayang demi menjalankan tanggungjawab kepada negara," ujarnya.

Justeru Rosmah menyeru seluruh masyarakat menghargai pengorbanan pasukan keselamatan yang selama ini menjaga keamanan negara.

Beliau turut mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengguris perasaan pasukan keselamatan semata-mata kerana perbezaan politik,

“Janganlah disebabkan perbezaan ideologi politik, budaya dan agama, maka kita mudah mencemuh dan melupakan segala pengorbanan pasukan keselamatan,” katanya.

Dalam acara itu, BAKTI turut menyediakan sebanyak 55,000 kotak juadah hari raya dengan kos perbelanjaan sebanyak RM522,500 untuk diagihkan kepada anggota keselamatan yang bertugas.

Bungkusan itu terdiri daripada rendang daging, sambal ikan bilis, kuah kacang dan nasi impit.

Daripada jumlah tersebut 20,000 bungkusan akan diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 30,000 kepada Polis Diraja Malaysia dan 5,000 kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim yang bertugas di perairan negara sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.