Salah kaitkan agama, bangsa dengan politik, kata Rafidah
Bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz mendesak supaya agama, bangsa dan pendidikan tidak dipolitik kan tanpa apa alasan sekalipun.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program ‘Obviously Harith Iskander’ di Astro Awani semalam ketika diminta mengulas isu hudud yang menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak pada pilihan raya kecil di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.
“Saya selalu cakap, jangan campurkan agama dengan politik. Politik bukan tentang agama, bangsa dan pendidikan...tidak sepatutnya (berlaku).
“Jauhkan mereka daripada politik. Ketiga-tiga ini tiada kaitan langsung dengan politik. Kalau ia dipolitikkan atas sebab apa sekalipun, ia salah.
“Ia hanya akan menyebabkan kebimbangan dan kurangnya kesatuan,” katanya yang dipetik oleh akhbar Sinar Harian ketika melaporkan tentang program berkenaan.
Akhbar harian itu juga melaporkan bekas menteri perdagangan dan industri ketika pentadbiran Mahathir itu berkata melahirkan kebimbangannya.
Mengulas lanjut isu hudud yang digunakan PAS untuk menarik pengundi Islam di Sungai Besar dan Kuala Kangsar selepas Umno mempercepatkan usul Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Rafidah berkata undang-undang Islam itu mencakupi banyak ruang lain bukan sekadar potong tangan.
Keluhnya, isu hudud hanya menjadi panas apabila ia dipolitikkan.
“Saya baca banyak orang sebut tentang hudud dari sudut positif... ia bukan tentang potong tangan tapi ia berkaitan banyak benda lain yang kita tak lihat pun.
“Kenapa kita nak terus pandangan kepada yang ekstrem dan menakutkan semua orang?
“Pada saya yang berlaku ini hanya dipolitikkan saja. Tak ada kaitan dengan agama,” katanya.
Rafidah adalah Ahli Parlimen Kuala Kangsar sebelum menyerahkan kerusi itu kepada penyandang Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, yang terbunuh dalam nahas helikopter pada Mei lalu sehingga mencetuskan pilihan raya kecil itu.
Pada program berkenaan, Rafidah juga mengakui sudah bosan melihat suasana yang melanda sistem pendidikan sekarang apabila guru-guru langsung tidak boleh mendidik seperti zaman dulu.
“Saya juga nakal di sekolah. Ibu bapa saya beritahu cikgu, jika anak saya nakal, rotan dia. Setiap cikgu ada rotan dan biasanya cikgu rotan di tangan melainkan terlalu nakal barulah pukul di punggung.
“Saya selalu kena rotan di tangan sebab bising di kelas. Tapi adakah saya mengadu pada mak ayah saya? Itu hanya akan ambil rotan yang lagi besar dan pukul saya lagi tiga kali.
“Itu yang ibu bapa dulu buat. Apabila mereka tahu anak mereka nakal, mereka disiplinkan di rumah bukan pergi sekolah dan marah cikgu itu pula,” katanya.

