PKR Johor mengecam siasatan polis terhadap pemimpin parti itu yang didakwa sebagai komplot yang akhirnya bertujuan melucutkan kelayakan mereka bertanding sebagai calon pada pilihan raya akan datang.

Ketua PKR Johor Hassan Karim berkata, sejak akhir tahun lalu, lebih 10 pemimpin parti itu telah disiasat atau didakwa di bawah Seksyen 9 (4) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana didakwa gagal memberi polis notis yang mencukupi sebelum mengadakan perhimpunan.

Ia merujuk acara yang diadakan sebagai solidariti dengan ketua pembangkang ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan hukuman bersalah yang dijatuhkan ke atasnya berhubung kes liwat II dan dikekalkan oleh mahkamah persekutuan pada Februari tahun lalu serta beberapa siri ceramah di kawasan luar bandar majoriti penduduk Melayu pada Mac tahun ini.

"Ini untuk mengugut kita. Saya lihat corak - ramai pemimpin PKR terutama di Johor yang diheret ke mahkamah dan didakwa dan seterusnya hilang kelayakan mereka sebagai calon.

"Ini motif mereka - untuk melucutkan kelayakan calon-calon berpotensi; pemimpin yang boleh jadi calon berkaliber pada pilihan raya," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Di bawah Perkara 47 dan 48 Perlembagaan Persekutuan, seseorang yang dihukum hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000 tidak boleh bertanding pada pilihan raya walaupun rayuannya masih belum selesai di mahkamah.

Mereka yang disiasat atau didakwa itu, termasuk Hassan adalah pengerusi negeri, ketua bahagian dan pemimpin cawangan, katanya.

Antara mereka yang didakwa adalah Pengarah Pilihan Raya PKR Johor Steven Chong yang kesnya masih belum selesai di mahkamah rayuan, dan Hassan sendiri, yang sebelum ini menghadapi dua tuduhan hasutan sehingga satu pertuduhan kemudiannya digugurkan.

Turut disiasat adalah Timbalan Ketua PKR Johor Jimmy Puah, Naib Ketua Rony Nurugan, setiausaha Mohd Kuzan Abu Bakar, dan Ketua Penerangan Akmal Nasir.

Perhimpunan solidariti bersama Anwar diadakan pada 13 Februari lalu selepas mahkamah persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas ketua umum PKR itu pada 10 Februari tahun yang sama.

[Baca berita penuh]