Pembatalan lesen: Rayani Air akan rayu peluang kedua
Rayani Air Sdn Bhd ( Rayani Air) akan merayu kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk diberikan peluang kedua bagi pelabur baru memulih serta menguruskan syarikat tersebut.
Pemilik yang juga ketua pegawai eksekutifnya, Ravi Alegandran menerusi kenyataan yang dipaparkan dalam akaun Facebook mengesahkan sijil pengendali udara telah dibatalkan oleh suruhanjaya tersebut dan DCA hari ini.
"Pembatalan itu berlaku ketika pihak kami sedang di peringkat akhir rundingan bersama pelabur untuk urusniaga pengambil alihan ekuiti Rayani Air setelah pemilik semasa dan pengurusan didapati tidak layak untuk memulihkan syarikat penerbangan itu.
"Pasukan pengurusan yang berkelayakan dan kukuh di kalangan pelabur baru akan memulih dan menguruskan syarikat penerbangan itu jauh lebih baik daripada kami," kata Ravi.
Tambah beliau, kebangkitan semula Rayani Air adalah penting untuk menyelesaikan kemelut "masalah kewangan" yang menjadi isu sosio-ekonomi negara seperti gaji pekerja, bayaran balik tiket dan liabiliti lain demi manfaat pekerja, penumpang, pemegang kepentingan dan industri penerbangan awam negara.
"Untuk tujuan ini, Rayani Air akan merayu dengan suruhanjaya dan DCA untuk diberikan peluang kedua kepada untuk pelabur baru memulih dan menguruskan syarikat penerbangan itu," katanya lagi.
Mavcom hari ini membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air kerana melanggar syarat-syarat lesen berkenaan dan tidak mempunyai keupayaan kewangan serta pengurusan untuk terus beroperasi.
"Akibatnya, Rayani Air tidak lagi boleh beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial berkuat kuasa hari ini," kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.
Pada masa yang sama, suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa para pelanggan boleh mendapatkan bayaran balik daripada Rayani Air.
"Pelanggan yang telah membeli tiket dengan Rayani Air dan tidak dapat meneruskan perjalanan mereka boleh membuat aduan dengan syarikat itu dan mendapatkan bayaran balik.
"Sekiranya pengguna tidak mampu untuk mendapatkan bayaran balik mereka, pengguna boleh memfailkan saman sivil bagi bayaran balik.
"Selain itu, pengguna yang terjejas boleh membuat aduan rasmi dengan suruhanjaya itu, yang boleh mendengar dan memutuskan aduan itu, dengan tujuan untuk melindungi kepentingan pengguna yang sah.
"Suruhanjaya itu boleh memohon keputusannya didaftarkan sebagai suatu penghakiman di Mahkamah Tinggi Malaysia," tambahnya.

