Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan meminda modul pengajaran yang merangkumi kenyataan salah mengenai agama Hindu dan Sikh, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanthan.

Menurut beliau, naib canselor universiti itu mengakui terdapat kesilapan dan modul berkenaan akan "diperbetulkan dengan segera".

"Saya juga meminta beliau untuk memastikan kesilapan itu tidak berulang kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan pelajar selain bukan fakta.

"Dia ikhlas setuju dengan cadangan saya," kata Kamalanthan dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau.

Kenyataan itu timbul selepas paparan skrin modul yang mengandungi logo UTM viral di media sosial.

Slaid itu menyebut Islam mengajar masyarakat Hindu di India tentang pentingnya kebersihan tubuh badan dan penjagaan kesihatan.

Bagaimanapun, ia menyatakan sebahagian penganut Hindu menganggap kekotoran yang ada pada tubuh badan sebagai sebahagian daripada amalan yang boleh menyampaikan seseorang hamba ke alam nirvana.

Slaid yang lain menyatakan agama Sikh adalah gabungan unsur-unsur keagamaan Hindu dan Islam, tetapi pengasasnya tidak memahami Islam secara mendalam.

Walaupun tidak dinyatakan pada slaid itu, ia dipercayai bahawa ini adalah sebahagian daripada modul wajib Tamadun Islam dan Tamadun Asia untuk semua pelajar di universiti awam.