Ketua Menteri baru selepas pilihanraya negeri Sarawak?
Mungkinkah Sarawak akan mendapat Ketua Menteri baru selepas pilihanraya negeri akan datang? Spekulasi tersebut dipanaskan lagi oleh kenyataan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud malam tadi, bahawa beliau telah mengenal pasti calon yang bakal menggantikannya.
Mungkinkah Sarawak akan mendapat Ketua Menteri baru selepas pilihanraya negeri akan datang? Spekulasi tersebut dipanaskan lagi oleh kenyataan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud malam tadi, bahawa beliau telah mengenal pasti calon yang bakal menggantikannya.
Calon tersebut adalah salah seorang daripada tiga nama yang disebut-sebut sebagai penggantinya Menteri Perumahan Sarawak Datuk Seri Abang Johari Tun Openg, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Adenan Satem dan wakil khas Menteri Pengajian Tinggi dan juga bekas Menteri Pertanian Datuk Effendi Norwawi.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Abdul Taib yang telah menyandang jawatan Ketua Menteri Sarawak sejak 1981, bagaimanapun enggan mendedahkan nama calon berkenaan.
"Tidak boleh maklumkan yang mana satu," katanya dalam rancangan terbitan RTM " 60 Minit Bersama Menteri " melalui TV1 malam tadi.
Walaupun, Abdul Taib juga tidak menyatakan bila beliau akan bersara, tetapi ianya kini menjadi topik hangat perbualan di kalangan ahli-ahli politik dan rakyat negeri Sarawak.
Abdul Taib yang juga Presiden Parti Persaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata calon berkenaan hanya akan diumumkan beberapa bulan sebelum beliau bersara.
Beliau juga melahirkan keyakinannya bahawa proses peralihan kuasa di Sarawak itu akan berjalankan dalam keadaan yang lincin.
Kriteria pemilihan
Ketua Menteri itu berkata buat sementara waktu ini, beliau akan terus memerhatikan ketiga-tiga tokoh berkenaan.
Namun katanya, sepanjang pemerhatiannya sebelum ini, ada seorang pemimpin yang telah berjaya melaksanakan tugas dengan baik serta mendapat sokongan rakyat.
Calon berkenaan mempunyai kriteria yang diperlukan untuk memimpin negeri yang mempunyai 27 kumpulan etnik itu, katanya.
Pilihanraya negeri Sarawak dijangka diadakan pada bila-bila masa dari sekarang sehingga bulan September tahun depan.
Dalam piliharanraya umum tahun lalu, Barisan Nasional (BN) Sarawak yang dipimpin oleh Abdul Taib telah memenangi 27 daripada 28 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Satu lagi kerusi Parlimen berjaya dimenangi oleh calon DAP, Chong Chieng Jen bagi kerusi Bandar Kuching dengan majoriti 2041.

