Strategi pembangunan komersil Kampung Baru, Kuala Lumpur perlu dibuat dengan penglibatan penuh pemilik tanah bagi memberi manfaat serta memastikan hak milik mereka kekal, kata seorang tokoh korporat Melayu, Datuk Matshah Sapuan.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada cadangan yang telah dikemukakan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk pembangunan komersil Kampung Baru bagi memberi keuntungan ekonomi, politik dan masyarakat kepada orang Melayu di Kuala Lumpur.

Menurutnya, cadangan tersebut dikemukakan oleh Umno bahagian Titiwangsa untuk dipertimbangkan oleh DBKL, yang membabitkan pembinaan hotel, pusat beli-belah, rumah kedai, kondominium dan pusat pengajian tinggi swasta untuk memberi pulangan lumayan kepada pemilik tanah di kampunt itu.

Beliau yang merupakan pengerusi jawatankuasa pembangunan Kampung Baru Umno bahagian itu, berkata, apabila Kampung Baru sudah menjadi pusat komersil yang maju, orang Melayu sendiri akan menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat tinggal atau perniagaan mereka..

"Kampung Baru menjadi tonggak kepada orang Melayu di Kuala Lumpur dan untuk itu pembangunan yang dibuat perlu menjamin hak mereka terhadap Kampung baru," katanya sambil menambah bahawa cadangan tersebut telah dihantar baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, pembangunan komersil secara besar-besaran ini hanya dapat dilakukan jika status tanah Kampung Baru iaitu Malay Agricultural Settlement (MAS) dipinda kepada tanah komersil seperti di kawasan sekelilingnya.

Terlalu ramai pemilik

Beliau berkata, status tanah MAS tidak perlu diubah cuma dipinda untuk membolehkan pembangunan komersil dibuat dan bagi memastikan hak pemilik tanah Kampung Baru kekal di tangan mereka.

"Pemilik tanah boleh menyewa atau memajak tanah mereka kepada pihak bank atau pemaju untuk dibina bangunan komersil berpuluh tingkat dan mereka mendapat hasil dari pembangunan tersebut.

"Tidak akan timbul lagi masalah, seperti terlalu ramai pemilik di atas sebidang tanah seperti yang berlaku sekarang ini. Pemilik akan membenarkan tanah mereka dimajukan jika mereka mendapat pulangannya," katanya.

Bercakap dalam satu pertemuan dengan malaysiakini di pejabatnya di Menara Sapuan, Jalan Ampang, petang semalam, Matshah berkata, pemilik tanah Kampung Baru mahu memajukan tanah mereka secara komersil jika mereka mendapat keuntungan dan hakmilik mereka kekal.

Menurutnya, pembangunan yang dibuat oleh konsortium seperti yang dicadangkan sebelum ini ditolak oleh penduduk Kampung Baru kerana ia tidak memberi keuntungan kepada mereka melainkan tanah mereka terjual.

"Orang Kampung Baru tidak percaya kepada konsortium kerana mereka mempunyai kepentingan di dalam pembangunan yang mereka lakukan," katanya.

Anugerah Sultan Selangor

Sehubungan itu, Matshah mencadangkan Kampung Baru perlu ditadbir oleh sebuah badan khas milik kerajaan seperti yang dibuat untuk memajukan Pulau Langkawi dan Putrajaya.

Beliau berkata, Kampung Baru perlu dimajukan seiring dengan pembangunan pesat kawasan sekeliling seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang terletak bersebelahan dengan Kampung Baru.

Menurutnya, pelan induk pembangunan Kuala Lumpur tidak pernah memasukkan Kampung Baru sebagai kawasan yang perlu dimajukan seperti kawasan-kawasan lain di kotaraya menyebabkan ia kekal sebagai kawasan perkampungan Melayu.

Beliau berkata, perkara ini berlaku kerana sejarah Kampung Baru itu sendiri yang tidak membenarkan pembangunan besar-besaran kerana status tanahnya adalah untuk penempatan orang Melayu.

"Tanah Kampung Baru asalnya adalah pemberian Sultan Selangor sebagai satu kawasan penempatan orang Melayu dan ia tidak boleh dimajukan secara komersil. Selain itu, ia juga tidak boleh disewa atau dijual kepada bangsa lain.

"Meskipun selepas penubuhan Wilayah Persekutuan pada 1972 dan Kampung Baru berada di bawah pentadbiran Kuala Lumpur, status tanah tersebut tidak ditukar," katanya.